Anda di sini

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tak bermakna: Asfia

Asfia merakamkan kenangan bersama Yahaya (tiga kiri) serta tetamu lain semasa menerima kunjungan hormat di Bangunan DUN hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Asfia merakamkan kenangan bersama Yahaya (tiga kiri) serta tetamu lain semasa menerima kunjungan hormat di Bangunan DUN hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi daripada anggota dewan rakyat pada 9 April, lalu disifatkan sebagai tidak bermakna.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, pindaan perlembagaan yang dicadangkan pada dasarnya merupakan pindaan bukan pindaan.

"Ia hanya bermain dengan kata-kata dan susunan semula negeri," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi pejabat DUN Terengganu yang diketuai Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali di Kompleks DUN di sini hari ini.

Asfia berkata, Kerajaan Persekutuan harus mengitiraf kepentingan Perjanjian Malayia 1963

"Sudah cukup yang telah diperkatakan oleh begitu ramai pihak. Namun saya ingin menekankan bahawa MA63 bukan sahaja satu perjanjian antarabangsa.

"Ia juga adalah triti yang ditandatangani oleh kerajaan-kerajaan berdaulat iaitu Great Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Wilayah-Wilayah Borneo," katanya. 

MA63 katanya, ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan didaftarkan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

"Sebarang pindaan kepada ini tidak dapat dibuat sesuka hati oleh sesiapa sahaja kecuali dengan keizinan dan sokongan semua pihak yang menandatangani perjanjian," katanya sambil menambah, beliau ada di Parlimen ketika RUU itu dibentangkan.

"Oleh itu, kita mesti mendokong MA63. Jika tidak ia umpama seorang budak yang menyatakan dia tidak mengiktiraf sijil kelahirannya kerana sijil kelahiran Malaysia adalah MA63.

"Kita tidak boleh menjadikan perjanjian 1957 sebagai asas. Suruhanjaya Cobbold adalah jelas. Perlembagaan 1957 hanya asas yang tidak boleh diikuti bulat-bulat," ujarnya lagi.

Mengenai persidangan DUN yang akan bermula 29 April ini, Asfia berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi secara terperinci sewaktu taklimat pra-persidangan.