Anda di sini

Projek ECRL disambung semula beri sokongan kepada ringgit minggu ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa sekitar 4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, disokong oleh laporan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata paras rintangan semasa ringgit adalah 4.11 berbanding dolar AS, manakala paras rintangan seterusnya pada 4.15.

“Saya menjangkakan ringgit bergerak dalam paras rintangan semasa 4.11, memandangkan laporan mengenai ECRL akan memberi dorongan kepada unit tempatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah, iaitu RM44 bilion, berbanding RM65.5 bilion sebelum ini, susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata kelemahan bandingan ringgit-dolar AS seterusnya akan menjadikan mata wang tempatan menguji semula paras tertingginya bagi tahun ini setakat ini iaitu 4.14, memandangkan paras 4.10 telah menjadi paras sokongan baharu.

Beliau berkata berdasarkan ketiadaan data ekonomi utama yang dikeluarkan minggu depan (minggu ini), tumpuan akan diberikan kepada faktor luaran, khususnya dari AS dan China, yang boleh memacu prestasi ringgit.

“Pengukuhan dolar AS boleh dipacu oleh petunjuk ekonomi negara maju itu, yang dikeluarkan minggu depan (minggu ini) dengan jangkaan ia bersifat positif, sekali gus boleh menjejaskan mata wang negara Asia.

“Bagaimanapun sebarang data dikeluarkan yang dilihat akan merendahkan had pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) serta lebih banyak pendirian memihak kepada kadar faedah rendah daripada kenyataan pegawai Fed yang dijadualkan minggu depan boleh melemahkan dolar AS di samping meredakan tekanan ke atas aset berisiko,” katanya.

Mengenai kesan dari China, Otunuga berkata negara itu akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertamanya, pengeluaran perindustrian Mac dan data jualan runcit pada minggu ini.

“Petunjuk selanjutnya mengenai penstabilan ekonomi kedua terbesar dunia itu akan mengurangkan kebimbangan yang menyelubungi pertumbuhan global, selain akan menggalakkan lebih banyak minat risiko dalam kalangan pelabur,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS, dan ia mencecah paras terendah dalam tempoh 10 minggu iaitu 4.1120/1160 berbanding dolar AS pada Khamis, terutamanya disebabkan oleh data lemah Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari 2019, yang hanya meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun, serta semakan semula rendah ke atas unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1120/1170 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0900 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0367/0406 daripada 3.0182/0207 minggu lepas serta susut berbanding euro kepada 4.6519/6596 daripada 4.5889/5927.

Unit tempatan turut rendah berbanding pound kepada 5.3760/3842 daripada 5.3458/3509 serta lemah berbanding yen kepada 3.6744/6798 daripada 3.6583/6613 minggu sebelumnya. — Bernama

Advertisement