Anda di sini

Potensi besar sagu untuk hasilkan Batik Linut

Advertisement
 Teknik cetakan Batik Linut dilakukan mengikut motif yang dihasilkan di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama
CETAKAN BATIK: Teknik cetakan Batik Linut dilakukan mengikut motif yang dihasilkan di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama

MAKANAN berasaskan sagu mentah atau yang dibuat tepung sudah tidak asing bagi penduduk di Mukah, salah satu bahagian di negeri bumi Kenyalang, Sarawak.

Tidak kira sama ada ia untuk hidangan makanan berlauk ataupun kuih-muih, pelbagai masakan boleh diasaskan menggunakan sagu atau juga dikenali sebagai lemantak seperti umai, kuih tebaloi, tumpik lemantak dan kuih kapit.

Perkara ini dikongsi Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Sarawak, Fatimah Abd Wahab kepada penulis semasa mengikuti program Industri Kraf Tekstil di Sarawak baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu penulis tentang sejenis makanan paling popular dalam kalangan suku kaum Melanau iaitu linut yang dibuat sepenuhnya daripada dua bahan iaitu sagu dan air. Ia biasanya dimakan ketika musim perayaan ataupun semasa berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara pada bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak menyangka bahawa makanan tradisional masyarakat Melanau dan Bisaya ini yang turut disukai suku kaum lain di Sarawak, Sabah mahupun Brunei, bukan sahaja menyelerakan bahkan berpotensi besar dalam penghasilan batik.

“Jangan kata orang luar, kami sendiri masyarakat tempatan yang memakan linut pun tidak sangka ia boleh dijadikan bahan utama pembuatan batik. Sebelum ini, masyarakat tempatan di Mukah tidak pernah membuat batik.

“Kami hanya membuat produk anyaman berasaskan daripada pokok rumbia yang menghasilkan sagu. Jadi, apabila ditawarkan untuk menjayakan projek pembuatan batik ini, saya berasa sangat teruja,” kata Andrea James, 34, kepada Bernama ketika ditemui di sebuah bengkel di Kampung Telian Tengah, Mukah.

Kampung Telian Tengah, terletak kira-kira 143 kilometer dari Sibu dan mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan.

Program anjuran Kraftangan Malaysia yang berlangsung pada 1 hingga 3 April lepas, memberi peluang kepada wakil media termasuk Bernama melihat sendiri bagaimana masakan tradisional linut ditransformasikan menjadi bahan utama pembuatan Batik Linut.

BATIK LINUT

 Lyona Stephen menggunakan teknik cetakan bagi mendapatkan latar belakang warna kain mengikut motif di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama
TEKNIK CETAKAN: Lyona Stephen menggunakan teknik cetakan bagi mendapatkan latar belakang warna kain mengikut motif di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama

 Batik Linut adalah produk baharu hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia yang diperkenalkan awal tahun 2019 untuk menyuntik keunikan dan kelainan bagi memartabatkan lagi eksklusif batik tempatan.

Bagi menjayakan projek ini, Kampung Telian Tengah, Mukah, dipilih untuk mempelopori penghasilan Batik Linut ini.  Seramai 30 orang terdiri daripada belia dan suri rumah termasuk Andrea adalah antara individu terawal dipilih untuk mempelajari cara pembuatan Batik Linut serta mengusahakannya secara bersama.

“Keunikan Batik Linut ini adalah terletak pada linut yang dilihat sebagai bahan sesuai menggantikan lilin di mana ia boleh bertindak sebagai penghalang air serta bahan pewarna daripada menembusi bahagian kain kerana sifatnya yang likat itu.

“Istimewanya, ia bukan sahaja boleh menggantikan fungsi lilin tetapi juga dapat menghasilkan corak dan warna yang lebih menarik apabila kain yang digunakan direndam bersama linut,” kata Andrea yang menghadiri Makmal Teknikal Pembuatan Batik Linut kelolaan Kraftangan Malaysia di Dewan Balai Raya Kampung Telian Tengah awal tahun ini.

 (Dari kiri) Saadiah Ibrahim, Pauling Jauhli dan Kartini Salihi membuat proses mewarna batik di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama
PROSES MEWARNA: (Dari kiri) Saadiah Ibrahim, Pauling Jauhli dan Kartini Salihi membuat proses mewarna batik di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama

Menurut beliau, pembuatan Batik Linut adalah hampir sama dengan proses penghasilan batik di tempat lain yang menggunakan teknik cetakan sutera saring cuma linut digunakan bagi mendapatkan latar belakang warna kain serta semasa mewarnakan motif.

“Dalam pemprosesan ini, paling penting adalah pembuatan linut.

UNTUK TUJUAN  KOMERSIAL

 Ini kerana, kalau linut tersalah pembuatannya sama ada agak cair atau terlebih likat, ia boleh menjejaskan proses mewarnakan latar belakang kain dan cetakan motif,” kata Andrea yang turut diberi tanggungjawab mengurus operasi pembuatan Batik Linut tersebut.

 Menurut ibu kepada dua anak dari suku kaum Melanau ini, proses pembuatan sehelai Batik Linut yang berukuran sepanjang 2.5 meter dan 4 meter mengambil masa antara satu hingga tiga hari bergantung kepada cuaca.

“Tidak ada masalah hendak dapatkan sagu. Di sini, pergilah ke mana-mana sahaja sekitar kampung ini atau pun kawasan Mukah, ada sahaja sagu dijual.

“Harganya pun murah berbanding sagu yang dijual di Kuching. Kami selalunya akan beli sagu seminggu sekali dalam bentuk ketulan. Bukannya tepung,” katanya.

Kemudahan mendapatkan bahan utama tersebut iaitu sagu di Mukah menjadi antara sebab utama mengapa Kraftangan Malaysia memilih kampung berkenaan menjadi pelopor kepada Projek Pembangunan Produk Batik Linut.

Ia berdasarkan pengeluaran sagu terbesar terletak di Bahagian Mukah di mana kawasan seluas 40,642 hektar ditanam dengan tanaman pokok rumbia daripada jumlah keseluruhan 46,768 hektar di seluruh Sarawak.

Berkaitan corak yang digunakan, penyelaras projek Batik Linut, Diana Rose, 57, berkata motif masyarakat Melanau daripada baju tradisional seperti kunci (butang), baju bangkuas, buah mulung, terendak dan ulat sagu menjadi pilihan untuk ditonjolkan pada Batik Linut.

Bagi tujuan ini juga, komuniti Batik Linut Kampung Telian turut bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Abdul Latif Mohti, 57, dan beberapa pereka muda seperti Lyona Stephen, 29, untuk rekaan motif kain pasang dan produk pakaian siap Batik Linut lelaki mahupun perempuan.

“Kami rasa bertuah kerana kampung ini dipilih sebagai pelopor membangunkan Batik Linut. Inovasi ini bukan sahaja memberi pendedahan dan peluang menjana ekonomi penduduk kampung bahkan ia menarik minat belia untuk memartabatkan warisan tempatan.

“Ketika ini, kami sedang sibuk menyiapkan Batik Linut untuk dipromosi dan dipasarkan buat pertama kali di Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 April ini,” katanya.

 FESTIVAL KRAF  TEKSTIL BORNEO 2019

 Kain yang siap diwarna akan dijemur di bawah pancaran matahari bagi proses pengeringan batik di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama
DIJEMUR: Kain yang siap diwarna akan dijemur di bawah pancaran matahari bagi proses pengeringan batik di Kampung Telian Tengah Mukah. — Gambar Bernama

 Bertemakan ‘Jalinan Inspirasi Kehidupan Borneo’, Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 (FKTB) yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, bertujuan memberi peluang khusus kepada usahawan kraf tekstil dari Sabah dan Sarawak untuk mempromosikan produk mereka di samping memperkenalkan produk baharu seperti Batik Linut.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak Azran Arip, kraf tangan daripada kepulauan Borneo mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri yang dapat menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara sekali gus menjana pendapatan bukan sahaja pada usahawan bahkan kerajaan negeri.

“Seramai 90 usahawan terlibat menjayakan festival kali ini. Saya harap inisiatif Kraftangan Malaysia ini dapat membantu usahawan memperluaskan jaringan pemasaran di mana festival ini adalah platform buat mereka mendapatkan pasaran baharu.

“Kraftangan Malaysia menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM500,000 sepanjang 10 hari festival itu diadakan,” katanya.

Selain Batik Linut, antara kraf tekstil Sarawak yang akan diketengahkan adalah tenunan songket sarawak, tenunan pua dan sulaman keringkam. Manakala produk kraf dari Sabah adalah seperti tenunan dastar, tapak sila, sulaman pis, ampit dan batik Sabah. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement