Anda di sini

Pogba bantu United kekal saingan buru empat tangga teratas

Advertisement
 Snodgrass melakukan terjahan keras ke atas Mata di dalam petak penalti pada perlawanan liga di Old Trafford Manchester, Sabtu lepas. — Gambar AFP
PENALTI PERTAMA: Snodgrass melakukan terjahan keras ke atas Mata di dalam petak penalti pada perlawanan liga di Old Trafford Manchester, Sabtu lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Manchester United memerlukan dua tendangan penalti Paul Pogba untuk terus bersaing memburu empat tangga teratas liga dengan menewaskan West Ham United 2-1 sementara Tottenham Hotspur naik ke  tangga ketiga selepas hatrik Luca Moura ketika menewaskan Huddersfield 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas.

United sudah tewas empat dari lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan sangat bernasib baik untuk kembali mencipta kemenangan selepas satu gol West Ham dibatalkan kerana ofsaid, satu cubaan terkena palang dan menyaksikan penjaga golnya, David de Gea menepis penalti Michaeil Antonio sebelum membolehkan mereka mendahului kedudukan pada lewat permainan.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer ke tangga kelima, dua mata di belakang Chelsea yang berada di tangga keempat – slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.

“Secara jujurnya, mereka bermain lebih baik berbanding kami. Saya tidak fikir ada sesiapa pun akan menafikannya,” kata Solskjaer.

“Kami bernasib baik mendapat tiga mata penuh, dalam beberapa tahun akan datang, tiada siapa mengingati cara anda bermain jika menamatkan saingan di empat tangga teratas.”

United dihadiahkan gol pendahuluan apabila Robert Snodgrasss mengasari Juan Mata dalam kotak penalti, membolehkan Pogba membuka jaringan.

West Ham mengikat kedudukan empat minit selepas rehat menerusi cubaan Felipe Anderson ketika pasukan pelawat mula mencipta beberapa peluang.

Antonio melihat cubaan jarak dekat beliau terkena palang sebelum De Gea menepis satu lagi cubaan Antonio untuk menafikan gol pendahuluan West Ham.

Tidak lama selepas itu, United mendapat penalti kedua, 10 minit sebelum tamat permainan apabila Ryan Fredericks mengasari Anthony Martial, membolehkan Pogba menjaringkan gol kedua peribadi.

“Saya fikir kami bernasib baik,” kata Pogba. “Anda sentiasa harus mengambil sepenuh peluang ini.”

Tottenham kelihatan tidak merasai ketiadaan kapten pasukan, Harry Kane, yang dijangka akan direhatkan sehingga akhir musim kerana kecederaan buku lali.

Dele Alli tidak diturunkan kerana kecederaan patah tangan sementara pengurus kelab, Mauricio Pochettino mengambil peluang merehatkan beberapa pemain utama termasuk Son Heung-min, menjelang perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada pertengahan minggu.

Lucas mengambil sepenuh peluang untuk menentang pasukan yang sudah disahkan tersingkir dari Liga Perdana dan menunjukkan kepada Pochettino di mana beliau boleh menjadi pemain penting ketika ketiadaan Kane ketika Spurs kembali ke tangga ketiga liga.

“Pemain perlu menunjukkan kualiti mereka. Hatrik itu akan membina keyakinan beliau,” kata Pochettino.

Victor Wanyama membuka jaringan pada minit ke-24 untuk mengenepikan sebarang kebimbangan di mana Spurs mungkin terjejas rentak selepas kempen Liga Juara-Juara.

Lucas menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit kemudian dan melengkapkan hatrik pada tiga minit terakhir ketika Spurs mencipta kemenangan ketiga dari tiga perlawanan di stadium baharu mereka.

Dengan saingan untuk empat tangga teratas liga akan berlarutan sehingga ke akhir musim, saingan untuk mengelak penyingkiran mungkin sudah berakhir sekiranya Brighton menewaskan Cardiff pada hari Selasa.

Cardiff ketika ini lima mata dari zon selama selepas tewas 0-2 kepada Burnley.

Chris Wood menjaringkan dua gol untuk Burnley tetapi pemain Cardiff berang selepas pengadil menolak keputusan penjaga garisan untuk memberikan penalti selepas rehat ketika kedudukan masih 0-1.

Brighton masih boleh dipintas selepas tewas 0-5 kepada Bournemouth.

Bournemouth sudah tewas 11 dari 12 perlawanan terakhir di gelanggang lawan tetapi naik ke tangga ke-12 menerusi gol Dan Gosling, Ryan Fraser, David Brooks, Callum Wilson dan Junior Stanislas.

Pada perlawanan lain, Southampton semakin selesa menjarakkan kedudukan dari zon penyingkiran selepas menewaskan Wolves 3-1 dan ketika ini berada lapan mata dari zon penyingkiran.

Walaupun sudah disahkan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim ini, Fulham mencipta kemenangan kelima mereka musim ini apabila menewaskan Everton 2-0. — AFP

Advertisement