Anda di sini

Malaysia terus catat jualan bersih asing bagi tiga minggu berturut-turut

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatatkan jualan bersih asing bagi tiga minggu berturut-turut apabila para pelabur mengalihkan peruntukan aset mereka kepada aset selamat seperti bon dan pasaran wang.  

Ini disebabkan oleh senario lembap dalam pasaran global yang membawa impak yang lebih besar berbanding faktor dalaman.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata malahan, jualan bersih semasa tempoh empat hari pertama minggu ini (8-11 April) berjumlah RM162.8 juta, susut daripada RM291.9 juta dalam tempoh yang sama minggu lepas.

“Pelabur runcit merupakan pembeli utama di Bursa Malaysia sebanyak RM110.1 juta semasa tempoh 8-11 April, lantunan semula daripada jualan berjumlah RM11.3 juta daripada 1-4 April.

“Penyertaan institusi tempatan dalam saham tempatan berjumlah RM52.8 juta antara 8-11 April berbanding RM303.2 juta antara 1-4 April,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata aliran keluar mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat ini tetapi pencetus utama adalah perkembangan luaran seperti keputusan negatif Brexit, pendekatan kadar faedah rendah dalam kalangan bank pusat utama serta semakan semula menurun pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Biasanya, semasa tempoh tersebut, pelabur sangat defensif, membawa kepada permintaan tinggi terhadap sekuriti selamat seperti instrumen pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan berkata penurunan nilai jualan bersih bagi asas minggu-ke-minggu, disokong oleh faktor-faktor tempatan termasuk harga komoditi yang lebih baik, penstabilan ringgit dan jangkaan keluaran dalam negara kasar yang lebih baik bagi suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini, dana asing menjual RM1.8 bilion bersih ekuiti tempatan.  

“Melihat kepada kesannya ke atas Bursa Malaysia yang dijangka menyaksikan lantunan semula teknikal minggu depan, dijangkakan bahawa akan ada belian dana asing bersih sebanyak lima peratus didorong oleh peningkatan harga komoditi,’’ katanya. — Bernama

Advertisement