Anda di sini

Lelaki ditahan selepas bakar rumah kekasih kerana cemburu

Advertisement
 

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membakar sebuah rumah dalam kejadian di Taman Desa Aman, Bedong dekat sini, kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata bagaimanapun tiada kemalangan  jiwa berlaku dalam kejadian itu kerana penghuni rumah berkenaan, sepasang suami isteri bersama empat anak mereka berusia antara setahun hingga 12 tahun, telah pulang ke kampung mereka di Baling.

Beliau berkata suspek berusia 24 tahun dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 33 tahun yang merupakan isteri orang dan sebelum ini telah mengugut untuk membunuh wanita itu sekeluarga kerana  cemburu.

“Bimbang dengan ugutan tersebut dan bagi mengelakkan isterinya berjumpa suspek, suami wanita itu yang berusia 35 tahun membuat laporan polis semalam dan membawa keluarganya pulang ke kampung di Baling,” kata Adzli ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya si suami kemudian menerima panggilan daripada adiknya kira-kira 5.30 pagi tadi yang memberitahu bahawa rumahnya terbakar, menyebabkan dia bergegas pulang semula ke rumah itu.

Adzli berkata  bertindak atas maklumat daripada lelaki itu yang turut mengenali suspek, polis kemudian berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian, kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran di taman perumahan yang sama.

“Selain mempunyai hubungan sulit, suspek dan wanita itu turut menagih dadah bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata suspek yang tidak bekerja dan dikenali dengan panggilan ‘Black’ didapati mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut kebakaran itu akan diteruskan oleh pihak forensik bomba… kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan selain Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya jika suspek didapati positif dadah,” katanya. - Bernama 

Advertisement