Anda di sini

Jesus bantu Sarawak ‘jerat’ skuad Penyu

Advertisement
 Kapten Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu ( kanan) diasak pemain Sarawak, Hudson Dias pada saingan Liga Premier 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. — Gambar Bernama
DIASAK: Kapten Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu ( kanan) diasak pemain Sarawak, Hudson Dias pada saingan Liga Premier 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUCHING: Sarawak mengakhiri kemarau kemenangan pada kempen Liga Premier 2019 setelah mengejutkan Terengganu FC II dengan 2-1 pada perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Penyerang kelahiran Brazil, Hudson Dias Jesus muncul wira Sarawak dengan meledakkan kedua-dua gol yang masing-masing pada minit ke-38 dan ke-75.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah (Terengganu FC II) terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penyerang dari Nigeria, Akanni-Sunday Wasiu pada minit ke-16.

Ketua Jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail melahirkan rasa gembira setelah anak-anak buahnya berjaya melakarkan kemenangan walaupun diberi tentangan sengit oleh pasukan tuan rumah, Terengganu FC II di laman sendiri malam tadi (kelmarin).

“Namun, kita harus memberi pujian kepada semua pemain kerana mereka menunjukkan ‘winning mentaliti’ sepanjang perlawanan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Mohamad Denny, semua pemain yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran itu bermain dengan penuh berdisiplin dengan menahan asakan bertubi-tubi pasukan tuan rumah terutamanya pada babak kedua selepas mereka mendahului 1-0.

“Malah, pemain-pemain muda kita juga semakin menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan dan mereka mampu menyajikan persembahan yang terbaik,” jelasnya.

Ini merupakan kemenangan kedua buat pasukan Sarawak dalam kempen Liga Premier 2019 setakat ini sekali gus meletakkan pasukan Ngap Sayot itu di tangga kelapan dengan mengumpul lapan mata.

Sarawak akan meneruskan kempen liga dengan melayan kunjungan UiTM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 21 April ini.

  • oleh
  • Advertisement