Anda di sini

Jabatan Alam Sekitar perlu tegas tangani pembakaran terbuka

Advertisement
Law sedang memberikan taklimat ringkas mengenai situasi kebakaran kepada Ling (kiri) dan Dr. Ting semasa melawat Menara Tinjau Tudan di sini hari ini.

MIRI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) disaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terus melakukan pembakaran secara terbuka di Miri.

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, beliau banyak menerima aduan mengenai peningkatan kes pembakaran terbuka namun setakat ini seperti tiada hukuman atau kompaun dikenakan terhadap pelaku.

“Saya menyeru JAS dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka, jangan sekadar beri amaran kerana ia tidak memadai.

“Pihak atau individu terbabit perlu diberi pengajaran melalui penguatkuasaan. Hanya melalui tindakan tegas sahaja kita dapat menangani masalah pembakaran terbuka,” katanya semasa sidang media selepas mendengar taklimat ringkas kebakaran dan jerebu di kawasan Miri semasa melawat Menara Tinjau Tudan di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon.

Sementara itu, Dr Ting menasihatkan orang awam tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia bukan hanya menjejaskan alam sekitar malah membahayakan kesihatan orang awam.

Beliau turut menasihatkan pemilik tanah terutama di kawasan Senadin, Tudan dan Kuala Baram agar bekerjasama melindungi kawasan tanah mereka dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membendung pembakaran terbuka.

Terdahulu Law memberitahu, pihaknya menerima kes kebakaran paling banyak dari kawasan Senadin, Tudan dan Luak.

“Bagaimanapun jumlah kes kebakaran lalang dan belukar sekarang sudah terkawal berbanding dua minggu lepas dengan purata 15 panggilan setiap hari. 

"Sekarang kita menerima kira-kira lima panggilan,” katanya sambil menambah faktor penurunan ini disebabkan berlakunya hujan di beberapa tempat.

Dalam perkembangan lain, Law memberitahu bandar Miri mencatat mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi setakat tengah hari tadi iaitu 90 manakala di kawasan Menara Tinjau Tudan (60).

Law berkata, musim kemarau ini dijangka berterusan sehingga Mei depan justeru orang awam dinasihatkan menghentikan aktiviti pembakaran.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Untuk IPU semasa, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my.

  • oleh
  • Advertisement