Anda di sini

Hyginus raih Anugerah Ikon Inovasi sempena WIIPA di Taiwan

Advertisement
HYGINUS menerima anugerah daripada Presiden World Invention Intellectual Property (WIIPA) Mandi Hsieh.
HYGINUS menerima anugerah daripada Presiden World Invention Intellectual Property (WIIPA) Mandi Hsieh.

LABUAN: Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+), Jabatan Pendidikan Labuan Dr Hyginus Lester Junior Lee sekali lagi menjulang nama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan pulau Labuan amnya di persada dunia.

Ini berikuran kejayaan beliau memenangi Anugerah Ikon Inovasi kategori Mentor Inovasi dalam acara rasmi World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA), sebuah organisasi yang berpusat di Taipei City, Taiwan.

Beliau merupakan penerima tunggal dari Wilayah Persekutuan Labuan.

International Innovation, Creativity and Technology Exhibition 2019 (i2CreaTE) yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 12-14 April 2019 telah dianjurkan bersama oleh World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA), Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (JHEPA UniMAP).

Bersempena penganjuran program antarabangsa itu, MyRIS buat julung kalinya memperkenalkan anugerah inovasi yang membabitkan penyertaan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa institusi pengajian tinggi dan guru sekolah di seluruh negara.

Calon dikehendaki mengemukakan eviden penyertaan aktif dalam program-program inovasi dan penyelidikan sepanjang tahun 2015 hingga 2019.
Pemilihan pemenang telah dibuat oleh panel pakar yang dilantik.

Pencarian Ikon Inovasi terbahagi kepada empat kategori iaitu Ikon Cilik (sekolah rendah), Ikon Remaja (sekolah menengah), Ikon Varsiti (institusi pengajian tinggi) dan Mentor Inovasi (guru sekolah rendah dan menengah).

Penganugerahan diadakan dalam majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis.

Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah, Hyginus telah bertugas sebagai Guru Cemerlang Bahasa Inggeris serta Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara. Beliau bergiat aktif dalam inovasi dan penyelidikan sejak tahun 2010.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang ini setelah didorong oleh mantan pengetua beliau, Hajah Zamzam Haji Abdul Rashid, yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menghasilkan produk bagi membantu meningkatkan penguasaan serta minat murid dalam bahasa Inggeris.

Inovasi pertama beliau adalah SMARTies: Simple, Meaningful and Rewarding Test: I am an English Specialist. Inovasi ini pernah memenangi Anugerah Guru Inovatif Mutiara pada tahun 2010 dan johan peringkat negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2011.

Kemudiannya, inovasi itu telah dipertandingkan dalam The 20th MELTA International Conference Creative Teacher Showcase di Terengganu dan mendapat anugerah gangsa.

SMARTies turut dibentangkan dalam The 9th Asia TEFL International Conference di Seoul, Korea Selatan dan The 1st Indonesia International Conference on Linguistics, Language Teaching and Culture, Universitas Pamulang, Indonesia.

Inovasi I SPY 5 Stars beliau pula memberi fokus kepada cara mudah dan berkesan untuk menguasai elemen tatabahasa 'subject-verb agreement'.

Inovasi itu telah memenangi Anugerah Guru Inovatif peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Anugerah Khas Inovasi dan Kreativiti Hari Guru, Inovasi Terbaik Program Jejak Inovasi Negara 2012, 21st MELTA International Conference Creative Teacher Showcase Silver Award, Anugerah Khas Pengaran Pendidikan, Inovasi Generasi Muda Terbaik 2012-2013, dan Asia TEFL (Korea) Travel Grant Award 2013.

Kajian tindakan keberkesanan inovasi I SPY 5 Stars telah dibentangkan dalam The 11th Asia TEFL International Conference di Ateneo de Manila University, Filipina, Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dan The 4th MELTA International Research Conference in English Language Education.

Atas usaha penambahbaikan, Hyginus memperkenalkan lagi I SPY 5 Stars Version 2.0. Kajian terhadap inovasi itu telah dibentang di 2015 Applied Linguistics Association of Korea (ALAK) International Conference di Chung-Ang University, Korea Selatan, 1st Creative and Innovative English Language Teaching Seminar 2016, dan 2nd Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2017 serta Labuan International Conference on Educational Research 2017.

Pada tahun 2015, beliau mengetuai pasukan inovatif SMK Mutiara bersama Noor Hasimah Mohd Ayub dan Nor Adliana Ahmad Basaruddin, dan berjaya menghasilkan Kit Pengurusan Panitia.

Inovasi itu mampu membantu ketua-ketua panitia mata pelajaran di sekolah untuk mengurus dan merekod maklumat guru, panitia serta kurikulum dengan lebih sistematik dan mudah diakses.

Pada tahun 2016, beliau telah membantu guru bukan opsyen bahasa Inggeris mengajar murid lemah untuk mengenal pasti kedudukan subjek, kata kerja, objek dan predikat dalam ayat serta teknik pembinaan ayat mudah dengan betul dan bermakna.

Kesungguhan beliau bersama Norzuliana Abd Hamid telah menghasilkan SuVA Game dan SuVA Grammar Cards. Mereka turut memenangi Anugerah Guru Inovatif.

Usaha berterusan beliau membantu golongan pendidik telah diiktiraf dengan menerima Anugerah Warga Pendidikan Kreatif dan Inovatif, Anugerah Khas Guru Pembimbing Inovasi, Anugerah Galakan Inovasi Pemimpin di Sekolah, dan Anugerah Khas Sokongan Inovasi pada tahun 2017.

Tahun 2018 melihat pembangunan terbaharu inovasi beliau dengan ciptaan I SPY 5 Starflowers yang memudahkan pengusaan tatabahasa 'subject-verb agreement' dan 'plural nouns' dalam bentuk kelopak bunga.

Idea itu telah mendapat kerjasama profesional daripada Ketua Panitia Bahasa Inggeris SMK Mutiara Cik Debbie Lawrence dan Ketua Pentaksir ULBS Sekolah Onnia Ahngol.

Perkongsian amalan terbaik mereka dibentang dalam The 3rd International Creativity and Innovation Exhibition & Language Teaching Seminar 2018.

Hyginus dianugerahkan Tokoh Penyelidikan dan Inovasi, Commendation for Research and Innovation 2018 serta Anugerah Khas Pengarah Pendidikan.

Kemahiran pementoran Hyginus terserlah apabila pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sekolah beliau buat julung kalinya menyertai Pertandingan KIK peringkat negeri dan memenangi tempat ketiga untuk ciptaan Sistem e-Merit Mutiara (SeMMut), sebuah platform pengisian markah merit murid untuk sumbangan kurikulum, kokurikulum dan sahsian peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.

Inovasi SeMMut memenangi Anugerah Pilihan Hakim dalam The 3rd International CAIELTS 2018 dan Anugerah Inovasi Organisasi.

Hyginus juga membimbing Panitia Bahasa Melayu SMK Mutiara dalam penghasilan inovasi 'Rogaba' untuk komponen kesusasteraan yang memenangi Anugerah Pilihan Hakim Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Karnival Keusahawanan PIBG 2018.

Sebagai Guru Kanan Bidang Kreativiti dan Inovasi, beliau mengadakan sesi Pembelajaran Profesional Komuniti (Professional Learning Community – PLC) dua kali setiap bulan dan melibatkan kesemua panitia di sekolah.

Keberhasilan PLC yang telah dijalankan berjaya melahirkan 10 inovasi panitia di mana 10 inovasi itu bertanding dalam pertandingan kreativiti dan inovasi peringkat negeri serta dibentangkan dalam Seminar Kajian Tindakan Panitia 2019 baru-baru ini.

Justeru, Hyginus merakamkan penghargaan kejayaan penganugerahan Mentor Inovasi itu kepada Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, Ketua Sektor Jaminan Kualiti Khaziyati Osman dan mantan Pengetua SMK Mutiara, Louren Abon atas sokongan dan dorongan mereka.

Beliau adalah Ikon Guru Labuan 2014 dan Ikon Guru Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2015 dan merupakan penerima Bett Asia 2016 Global Citizen Award.

Graduan Victoria University of Wellington (Sarjana Muda Pendidikan TESOL), Universiti Utara Malaysia (Sarjana Pendidikan) dan Universiti Malaysia Sabah (Doktor Falsafah) ini sekarang bertugas sebagai Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) bermula April 2019.

i2CreaTE 2019 Kuala Lumpur disertai oleh 12 negara. World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) mempunyai keahlian daripada 26 negara yang terdiri daripada persatuan-persatuan inovasi, sekolah, dan organisasi berkaitan termasuk Brazil, Kanada, Croatia, Mesir, Hong Kong, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Korea, Macau, Malaysia, Myanmar, Filipina, Poland, Qatar, Romania, Saudi Arabia, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Turki, Emeriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, dan Vietnam.
 

Advertisement