Anda di sini

Guna pendekatan holistik

Advertisement
 Abang Johari (lima kiri), Awang Tengah (empat kiri) dan Abang Helmi (empat kanan, terlindung sedikit) menyaksikan pertukaran dokumen antara wakil-wakil bagi penubuhan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC) yang membabitkan Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd, DUBS Holdings Sdn Bhd, Suarah Petroleum Group (SPG) dan Curtin University Malaysia.
SAKSI: Abang Johari (lima kiri), Awang Tengah (empat kiri) dan Abang Helmi (empat kanan, terlindung sedikit) menyaksikan pertukaran dokumen antara wakil-wakil bagi penubuhan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC) yang membabitkan Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd, DUBS Holdings Sdn Bhd, Suarah Petroleum Group (SPG) dan Curtin University Malaysia.

MIRI: Kerajaan Sarawak mahu mengambil pendekatan holistik dalam industri minyak dan gas yang merupakan perniagaan antarabangsa, dengan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sudah bertapak kukuh dalam industri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak melalui syarikat minyaknya sendiri, Petros bersedia berunding dengan mana-mana syarikat melalui perkongsian sama rata, dengan Petros menyediakan data sumber asli (minyak) yang tepat dan menyerahkan kepakaran pengeluaran kepada syarikat berkaitan.

“Jika mahu berkongsi, kita (Petros) perlu mempunyai data yang tepat dan inilah yang saya dan pasukan saya lakukan. Ini adalah pendekatan holistik yang kita ambil dalam (kerajaan) GPS, apabila kita mendapat data maka kita boleh meramal dan mula melaksanakan. Kita bukan hanya bercakap tanpa tindakan,” katanya.

“Kita perlu lakukan secara profesional dan berdasarkan data yang tepat. Apabila sudah memperolehi data (sumber minyak) yang tepat, baharulah kita boleh berunding dengan Shell, Exxon (Mobil), Petronas (Carigali) dan Murphy (Oil).

“Kalau (data menunjukkan) gas banyak, bolehlah kita berkongsi. Berkongsi pengeluarannya dengan memberikan (hak) kepada Sarawak juga, jangan makan seorang,” katanya berseloroh sambil mendapat tepukan bergemuruh daripada tetamu yang hadir.

Berucap semasa menyampaikan amanat pada Seminar dan Pameran ‘Sarawak Oil & Gas 2019 (SOGSE) - Now or Never’ di sini semalam, Abang Johari memberitahu, usaha mendapatkan data termasuk data seismik di kawasan baharu diterokai oleh Sarawak dalam kawasan perairannya yang sah di bawah undang-undang laut, adalah di bawah teras pertamanya, kedudukan undang-undang.

Menurut Abang Johari lagi, beliau dan pasukannya di kabinet negeri perlu mengadakan penerokaan di kawasan lain untuk pendapatan lain bagi membolehkan Sarawak mengambil bahagian secara aktif dalam industri minyak dan gas, agar dapat memberi kemakmuran kepada rakyatnya melalui hasil sumber aslinya sendiri.

“Seorang profesor pernah memberitahu, bahawa Sarawak adalah negara yang kaya tetapi rakyatnya miskin, berdasarkan pendapatan perkapita,” katanya, sedangkan Sarawak lebih 100 tahun terlibat dalam industri minyak dan gas selepas penemuan minyak yang pertama di Miri pada 1910.

Justeru, Kerajaan Sarawak menggariskan empat teras utamanya menentukan hala tuju industri minyak dan gas.

Abang Johari berkata selepas melaksanakan hak undang-undang Sarawak seterusnya, ialah kedua melaksanakan peranannya dalam aktiviti huluan dan ketiga aktiviti hiliran, yang sama pentingnya kepada teras keempat iaitu menambah nilai kepada aktiviti-aktiviti ini, melalui teknologi dan peningkatan sumber manusia dan tenaga mahir.

Katanya, dengan permintaan terhadap minyak mentah dijangka merosot disebabkan peningkatan permintaan terhadap tenaga hijau dan lebih bersih, maka terdapat keperluan untuk menghasilkan tenaga hidro dan derivatif lain daripada sumber-sumber organik untuk mengekalkan ekonomi.

Abang Johari meyakinkan bahawa kerajaan Sarawak komited untuk memastikan Sarawak akan mendapat bahagiannya daripada sumber semula jadinya.

“Justeru, apabila kita bercakap mengenai perlembagaan, kita perlu berhati-hati. Oleh sebab itulah kita menafikan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda (di Parlimen baru-baru ini), kerana kita perlu memastikan bahawa semangat dan kandungan Perjanjian Malaysia itu sendiri mestilah dipatuhi,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa GPS menolak pindaan ini, kerana terdapat empat perkara dalam pindaan yang tidak boleh dirundingkan iaitu tanah, autonomi imigresen, hak atas sumber tanah dan sempadan.

Sementara itu, SOGSE 2019 yang berlangsung dua hari di sini, menyaksikan penyertaan 20 syarikat berkaitan minyak dan gas, telah merangka tujuh resolusi dan rancangan tindakan yang dicadangkan untuk Kerajaan Sarawak.

Mengenai resolusi, Abang Johari berjanji akan membawa resolusi itu ke mesyuarat kabinet akan datang untuk dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, wakil-wakil rakyat GPS serta Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datu Abang Helmi Ikhwan dan Naib Presiden DUBS Kadier Sahib yang juga pengerusi penganjur.

  • oleh
  • Advertisement