Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka catat lantunan semula

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan lantunan semula teknikal minggu ini dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan berada di sekitar paras 1,640.

Naib Presiden Kanan (pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata jualan asing dilihat berkurangan kepada kira-kira RM318 juta pada minggu yang baru berakhir ini daripada RM417 juta minggu sebelumnya, membayangkan kemungkinkan permintaan baharu minggu ini.

“Petunjuk terbaharu Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai terdapatnya sedikit keperluan untuk mengubah kadar faedah bagi tempoh berbaki 2019, juga akan membantu meningkatkan sedikit minat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan ringgit mungkin akan membawa kepada pendekatan lebih berhati-hati minggu ini.

Pada Jumaat minggu ini, ringgit berada pada 4.1120/1170 berbanding dolar AS susulan kebimbangan terhadap data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Februari yang mengecewakan selain penurunan unjuran pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini.  

IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global bagi 2019 kepada 3.3 peratus daripada 3.5 peratus yang diunjurkan pada Januari tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk frekuensi tinggi kebelakangan ini seperti IPP dan eksport menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin perlahan dalam suku pertama 2019.   

“Justeru, kami merasakan pelabur akan kekal tidak mahu memasuki pasaran minggu ini.

“Lantunan semula teknikal nampaknya akan berlaku tetapi mungkin sukar dicapai sekarang ini memandangkan peningkatan keadaan yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata kdnk negara dijangka tumbuh 4.2 peratus dalam suku pertama tahun ini.

“Oleh itu, keputusan korporat di Amerika Syarikat (AS) seharusnya memberikan kita lebih banyak petunjuk mengenai dinamik pasaran semasa,” kata Mohd Afzanizam.

Selain itu,katanya, ketegangan perdagangan antara AS-China, AS-Kesatuan Eropah juga akan menjadi faktor risiko utama selain nasib tidak menentu rundingan Brexit, selepas tarikh akhirnya dilanjutkan ke 31 Oktober, 2019.

“Meskipun ia kelihatan satu kelegaan, landskap politik United Kingdom dijangka berada dalam kekalutan dengan ura-ura kemungkinan pilihan raya umum dan referendum kedua dijangkakan dari semasa ke semasa terutamanya ketika ahli politik bergelut untuk mencapai konsensus.

“Bank-bank pusat utama seperti European Central Bank dan Fed AS sudah tentunya akan cenderung kepada kadar faedah rendah, membuka laluan kepada lebih banyak pendekatan monetari akomodatif pada masa depan,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 11.64 mata kepada 1,630.17, dengan Bursa Malaysia kebanyakannya ditutup rendah sepanjang minggu ini.

Indeks FBM Emas susut 39.40 mata kepada 11,561.46, Indeks FBMT 100 turun 51.66 mata kepada 11,385.97 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 25.07 mata kepada 11,762.39.

Indeks FBM Ace berkurangan 66.21 mata kepada 4,729.40 tetapi FBM 70 naik 53.95 mata kepada 14,478.49,

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 66.65 mata kepada 16,822.07, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.41 mata kepada 168.13 tetapi Indeks Perladangan menokok 32.79 mata kepada 7,269.34.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.52 bilion unit bernilai RM11.47 bilion daripada RM13.89 bilion unit bernilai RM9.58 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 13.25 bilion saham bernilai RM10.53 bilion daripada 10.36 bilion saham bernilai RM8.83 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.37 bilion unit bernilai RM540.50 juta daripada 1.95 bilion unit bernilai RM408.36 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.89 bilion saham bernilai RM396.55 juta daripada 1.57 bilion saham bernilai RM329.20 juta. — Bernama

Advertisement