Anda di sini

Bicara Najib: Pendakwaan bantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemuka dokumen

Najib tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini - Gambar Bernama
Najib tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd membantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemukakan tiga dokumen tambahan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk V.  Sithambaram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya berkata mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen tambahan itu boleh diterima dan sama ada ia relevan untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi pertama, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah, 35.

Dokumen itu termasuk butiran semua individu yang pernah menjawat jawatan pengarah di Yayasan Rakyat 1Malaysia.

"Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa mahkamah perlu meneliti dokumen yang akan dikemukakan itu sama ada  boleh diterima di mahkamah ini dan sama ada terdapat keperluan untuk dokumen terbabit digunakan di mahkamah untuk menyoal balas saksi,” kata Sithambaram pada hari kedua perbicaraan kes Najib itu.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pula berhujah bahawa dokumen itu mesti ditunjukkan terlebih dahulu, kemudian baru diputuskan sama ada ia relevan atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu sebelum ianya boleh dikemukakan di mahkamah.

Pada prosiding 3 April lalu, Harvinderjit meminta Muhamad Akmaludin membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir semua individu pernah menjawat sebagai pengarah di syarikat itu.

Perbicaraan kes itu kemudiannya diteruskan dengan pihak pembelaan menyoal balas Muhamad Akmaludin. Pada 3 April lepas saksi itu selesai memberikan keterangan pada  peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu yang merupakan Perdana Menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015. - Bernama