Anda di sini

Minyak dan gas, Sarawak mahu perkongsian sama rata - Abang Jo 

Advertisement
Abang Johari (empat kiri) dan Awang Tengah (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen di antara wakil-wakil bagi penubuhan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC), yang membabitkan Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd, DUBS Holdings Sdn Bhd, Suarah Petroleum Group (SPG) dan Universiti Curtin, Malaysia.
Abang Johari (empat kiri) dan Awang Tengah (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen di antara wakil-wakil bagi penubuhan Pusat Inovasi Minyak dan Gas Sarawak (SOGIC), yang membabitkan Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd, DUBS Holdings Sdn Bhd, Suarah Petroleum Group (SPG) dan Universiti Curtin, Malaysia.

MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak mahu mengambil pendekatan holistik dalam industri minyak dan gas yang merupakan perniagaan antarabangsa, dengan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sudah bertapak kukuh dalam industri itu. 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata Sarawak melalui syarikat minyaknya sendiri yang ditubuhkan, PETROS, bersedia untuk berunding dengan mana-mana syarikat melalui perkongsian sama rata, dengan PETROS menyediakan data sumber asli (minyak) yang tepat dan menyerahkan kepakaran pengeluaran kepada syarikat berkaitan. 

"Jika mahu berkongsi, kita (PETROS) perlu mempunyai data yang tepat dan inilah yang saya dan pasukan saya lakukan. Ini adalah pendekatan holistik yang kita ambil dalam (Kerajaan) GPS, apabila kita mendapat data maka kita boleh meramalkan dan mula melaksanakan. Kita bukan hanya bercakap tanpa tindakan," katanya. 

"Kita perlu lakukan secara profesional dan berdasarkan data yang tepat. Apabila sudah memperolehi data (sumber minyak) yang tepat, barulah kita boleh berunding dengan Shell, Exxon (Mobil), Petronas (Carigali), Murphy (Oil). 

"Kalau (data menunjukkan) gas banyak, bolehlah kita berkongsi. Berkongsi pengeluarannya dengan memberikan (hak) kepada Sarawak juga, jangan makan seorang," katanya berseloroh sambil mendapat tepukan gemuruh tetamu yang hadir. 

Berucap semasa menyampaikan amanat pada Seminar dan Pameran 'Sarawak Oil & Gas 2019 (SOGSE) - Now or Never' di sini hari ini, Abang Johari memberitahu usaha mendapatkan data termasuk data seismik di kawasan baru diterokai oleh Sarawak dalam kawasan perairannya yang sah di bawah undang-undang laut, adalah di bawah teras pertamanya, kedudukan undang-undang. 

Menurut Abang Johari lagi, beliau dan pasukannya di kabinet negeri (GPS) perlu mengadakan penerokaan di kawasan lain untuk pendapatan lain bagi membolehkan Sarawak mengambil bahagian secra aktif dalam industri minyak dan gas, agar dapat memberi kemakmuran kepada rakyatnya melalui hasil sumber aslinya sendiri. 

"Seorang profesor pernah memberitahu, bahawa Sarawak adalah negara yang kaya tetapi rakyatnya miskin, berdasarkan pendapatan per kapita," katanya, sedangkan Sarawak lebih 100 tahun terlibat dalam industri minyak dan gas selepas penemuan minyak yang pertama di Miri pada 1910. 

Justeru, Kerajaan Negeri menggariskan empat teras utamanya menentukan hala tuju industri minyak dan gas. 

Abang Johari berkata selepas melaksanakan hak undang-undang Sarawak seterusnya, ialah kedua melaksanakan peranannya dalam aktiviti huluan dan ketiga aktiviti hiliran, yang sama pentingnya kepada teras keempat iaitu menambah nilai kepada aktiviti-aktiviti ini, melalui teknologi dan peningkatan sumber manusia dan tenaga mahir.

Abang Johari menyakinkan bahawa kerajaan Sarawak komited untuk memastikan Sarawak akan mendapat bahagiannya daripada sumber semula jadinya.

"Justeru, apabila kita bercakap mengenai perlembagaan, kita perlu berhati-hati. Oleh sebab itulah kita menafikan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda (di Parlimen baru-baru ini), kerana kita perlu memastikan bahawa semangat dan kandungan Perjanjian Malaysia itu sendiri mestilah dipatuhi," katanya. 

Beliau menyatakan bahawa GPS menolak pindaan ini, kerana terdapat empat perkara dalam pindaan yang tidak boleh dirundingkan iaitu tanah, autonomi imigresen, hak atas sumber tanah dan sempadan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin; Setiausaha Kerajaan Negeri,  Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, wakil-wakil rakyat GPS serta Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datu Abang Helmi Ikhwan dan penganjur pengerusi Kadier Sahib yang juga naib presiden DUBS.
 

  • oleh
  • Advertisement