Anda di sini

HOMEDEC Pulau Pinang sasar RM15 juta transaksi jualan

Advertisement
 Orang ramai mengunjungi Pameran Rekaan Hiasan dan Kelengkapan Rumah (HOMEDEC), yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin di Setia Spice Arena, George Town. — Gambar Bernama
KELENGKAPAN RUMAH: Orang ramai mengunjungi Pameran Rekaan Hiasan dan Kelengkapan Rumah (HOMEDEC), yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin di Setia Spice Arena, George Town. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) Pulau Pinang dijangka meraih transaksi jualan sebanyak RM15 juta, menurut C.I.S Network Sdn Bhd selaku penganjur program.

Pengurus Kanan Pengiklanan dan Promosi Lim Wye Ling berkata edisi ke-17 HOMEDEC menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus bagi barangan terpilih daripada 40 jenama keperluan kediaman.

“Terdapat banyak pilihan dengan tawaran menarik boleh diperolehi pengunjung di sini,” katanya pada sidang akhbar selepas pembukaan HOMEDEC Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, HOMEDEC Pulau Pinang turut menawarkan khidmat nasihat, maklumat dan tip untuk kehidupan pintar dan maklumat terkini mengenai reka bentuk kediaman berkualiti, perabot dan perkakasan  daripada 160 pempamer di 420 gerai jualan.

“Kami berharap dapat memberi panduan kepada pembeli. Oleh itu, kami percaya adalah penting untuk membuat pilihan bijak bagi perkakasan rumah supaya kita tidak tersilap membuat keputusan sehingga terpaksa membelanjakan lebih banyak wang, khususnya ketika pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan,” katanya.

Lim berkata pameran tiga hari yang bermula kelmarin sehingga Ahad dijangka mampu menarik kira-kira 29,000 pengunjung.

Sementara itu, ditanya sama ada pembukaan IKEA di Batu Kawan baru-baru ini akan memberi kesan kepada jualan pameran itu, beliau berkata Homedec menawarkan perkhidmatan dan barangan berbeza berbanding IKEA, selain memberikan banyak tip.

“Kami bekerjasama dengan pakar bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di Kuala Lumpur. Kami mempunyai pakar berlainan untuk mendidik pembeli mengubah suai rumah daripada awal sehingga akhir,” katanya.

Lim berkata pada masa depan, syarikat itu turut bercadang bekerjasama dengan media penyiaran untuk menghasilkan program perkongsian tip dengan masyarakat mengenai reka bentuk kediaman.

Homedec yang dianjurkan setiap dua tahun sekali di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan secara tahunan di Kota Kinabalu menawarkan perkongsian tip terkini, aliran, idea inovatif dan maklumat mengenai hiasan dan reka bentuk kediaman berkualiti.

Pameran ini diadakan pada April dan Oktober di Pulau Pinang. — Bernama

Advertisement