Anda di sini

Dua maut pangsapuri bersebelahan runtuh di Brazil

Advertisement
 Seorang mangsa dibawa dengan pengusung selepas sebuah bangunan runtuh di kawasan setinggan Muzema, Rio de Janeiro, Brazil kelmarin. — Gambar Reuters
TERSELAMAT: Seorang mangsa dibawa dengan pengusung selepas sebuah bangunan runtuh di kawasan setinggan Muzema, Rio de Janeiro, Brazil kelmarin. — Gambar Reuters

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya dua maut apabila bangunan pangsapuri bersebelahan runtuh di sebuah kawasan kejiranan daif di Rio de Janeiro kelmarin, kata pegawai Brazil, beberapa hari selepas hujan lebat menyebabkan huru-hara di bandar raya tersebut.

Tujuh lagi cedera apabila struktur di favela (kampung setinggan) Muzema di mana kebanyakan bangunan yang dibuat dengan murah didirikan tanpa permit runtuh pada awal pagi ketika penduduk masih tidur atau bersarapan.

“Anak saya sedang bersarapan dan dia menjerit ‘ibu, ia tumbang, ia tumbang’,” kata Juliana Carvalho, 34, yang tinggal di seberang jalan, kepada pemberita.

“Kami sangka lereng bukit runtuh tetapi sebenarnya bangunan yang runtuh. Kami lari tanpa menoleh ke belakang.”

Manakala saudara-mara dan rakan-rakan yang gelisah menunggu di jalan yang rosak disebabkan hujan pada Isnin lalu, puluhan penyelamat mencari mangsa yang mungkin selamat dengan bantuan anjing pengesan.

Helikopter membawa beberapa mangsa yang cedera ke hospital, manakala mangsa lain dibawa dengan pengusung ke trak pikap milik jabatan kecemasan.

“Kami sedang berusaha tanpa mengenal letih,” kata anggota bomba Marcelo Gisler kepada pemberita manakala air botol dibawa menaiki bukit kepada penyelamat yang bekerja dalam keadaan yang begitu panas dan lembap.

Laman berita G1 menganggarkan tiga kematian tetapi pegawai kerajaan tidak dapat mengesahkan jumlah tersebut.

Beberapa bahagian jalan menuju ke atas bukit di mana bangunan yang runtuh berada, iaitu di kaki lereng yang curam, telah dirosakkan oleh hujan yang luar biasa lebat, sekali gus merumitkan usaha menyelamat.

Pegawai berkata mereka tidak tahu berapa ramai orang tinggal di bangunan itu dan bergantung kepada saudara-mara dan jiran untuk melaporkan orang yang hilang.

“Saya sedang menunggu berita mengenai dua saudara saya dan ipar saya,” kata Francisco Ferreira, 40, yang tinggal berdekatan.

Penduduk lain menyuarakan rasa kecewa bahawa mereka tidak menerima sebarang berita tentang ahli keluarga tersayang, beberapa jam selepas bangunan runtuh.

Seperti kebanyakan kawasan kejiranan yang daif di Rio de Janeiro, Muzema diurus oleh militia yang menggunakan keganasan untuk melaksanakan pemerintahan mereka.

Mereka menjual hak tanah dan mengawal akses kepda khidmat bandar raya seperti air dan tenaga elektrik.

Kebanyakan bangunan dibina dengan buruk tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa perancangan bandar raya.

“Kita perlu memusnahkan bangunan bersebelahan dan cuba mengelak keadaan bandar yang huru-hara ini daripada berlaku lagi,” kata Naib Gabenor Rio de Janeiro, Claudio Castro kepada pemberita.

“Kita perlu menyelamatkan nyawa orang dan tidak membiarkan ini berlaku lagi.”

Namun penduduk mengadu Muzema dan kawasan kejiranan sekitar sudah lama diabaikan oleh kerajaan Rio de Janeiro.

Selepas bangunan haram dimusnahkan, bangunan baharu dibina di tempatnya, kata Solo Melo, 32, yang tinggal di hujung jalan dari bangunan yang runtuh.

“Ini bukan mengenai penderitaan, ia adalah mengenai pengabaian,” katanya kepada AFP.

Tragedi kelmarin melengkapkan minggu berdarah di Rio de Janeiro. Sekurang-kurangnya 10 maut dalam hujan lebat pada Isnin dan Selasa lepas yang mengubah jalan menjadi sungai deras, menumbangkan pokok dan menghanyutkan kenderaan.

Sehari sebelum taufan melanda, seorang lelaki maut selepas ditembak bertubi-tubi oleh askar ketika dia memandu keluarganya ke satu majlis meraikan seorang bayi.

Pasukan peronda tentera sedang mencari penjenayah dan melakukan kesilapan apabila mereka menembak kenderaan Evaldo dos Santos Rosas. — AFP

Advertisement