Anda di sini

Bintulu destinasi pelancongan memancing di Sarawak

Advertisement
 Para pelancong bergambar bersama tangkapan mereka.
LUMAYAN: Para pelancong bergambar bersama tangkapan mereka.
 Mohd Faizul berjaya mendaratkan Yellowfin Tuna.
BERTUAH: Mohd Faizul berjaya mendaratkan Yellowfin Tuna.
 Abdul Faridz Hata bersama Dogtooth Tuna.
BERBALOI: Abdul Faridz Hata bersama Dogtooth Tuna.
 Arifuddin bangga bersama ikan Keretang yang menyangkut di kailnya.
BERAT: Arifuddin bangga bersama ikan Keretang yang menyangkut di kailnya.

BINTULU sangat terkenal sebagai bandar perindustrian dan pusat petroleum di Sarawak. Apabila memperkatakan tentang bahagian Bintulu, ia juga dikaitkan sebagai salah satu bahagian yang terkandung dalam perindustrian SCORE yang turut memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Namun daripada aspek lain, Bintulu juga boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong terutamanya yang meminati sukan air iaitu memancing laut dalam dan kawasan pesisiran pantai.

Sebab itu, nama Bintulu tidak terlalu asing bagi kaki pancing terutamaannya kepada pengemar sukan ini baik di Sarawak, Sabah, Semenanjung dan negara Brunei Darussalam.

Menurut Ketua Bahagian Strategik, Komunikasi Korporat dan Jaringan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak Dr Mohamad Maulana Magiman, memancing ini berpotensi memberi pulangan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Melalui segmentasi pula, ia dapat dibahagikan kepada tiga segmen iaitu, pengusaha bot pelancongan memancing, profil pelancong memancing dan lokasi memancing yang akhirnya memberikan jolokan Bintulu sebagai lubuk bagi pemancing yang ingin merasai lenturan jorang pada tahap maksimum.

Baru-baru ini, ekspedisi memburu ikan-ikan Dogtooth Tuna, Yellowfin Tuna dan Red Snapper yang diketuai oleh Khairul Suhaili dan Awangku Affendi Awg Putera dengan disertai 14 pemancing tegar telah bermula ke kawasan M3, di perairan Bintulu.

Perjalanan ke kawasan M3 mengambil masa 13 jam dengan menggunakan kapal pelancongan pemancing yang diketuai oleh Amiruddin Julaihi (Abang Jamal).

Menurut Khairul dan Awangku Affendi, persediaan untuk ekspedisi itu bukannya mudah kerana perlu membuat perancangan selama setahun. Perancangan panjang itu mengambil kira dan menitikberatkan faktor-faktor yang melibatkan pemancing sendiri, peredaran bulan dan keadaan arus. Sekiranya keadaan ini tidak dititikberatkan, ia akan menyebabkan hasil yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan.

Selain itu, peralatan yang digunakan untuk kegunaan memancing laut dalam adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan memancing di kawasan pesisiran pantai. Ini kerana bentuk, saiz dan ketangkasan ikan amat berbeza.

Selain itu peranan lenturan joran dan mesin yang digunakan pula agak jauh lebih baik kerana kedalaman sesuatu kawasan memancing di kawasan laut dalam boleh mencecah lebih 150 meter.

Walaupun memancing ini dikategorikan sebagai rekreasi untuk tujuan keseronokan namun dari segi ekonomi pula ia sebenarnya memberikan pendapatan kepada pengusaha-pengusaha bot pelancongan memancing.

Selain itu, ia menjadi daya tarikan kepada ramai pelancong dari luar kawasan Sarawak untuk membuktikan kehebatan sebagai pemancing atau menikmati keseronokan ‘berlawan’ dengan jenis-jenis ikan yang sukar diperoleh di kawasan rendah.

Aktiviti ini sepetutnya dijadikan sebagai satu acara dalam kalender pelancongan  Sarawak kerana dengan memasukkan pelancongan memancing, ia dapat menambahkan pendapatan negeri Sarawak.

Menurut Mohamad Maulana, konsep pelancongan memancing ini saling mempunyai hubungan antara pelancongan dan aktiviti memancing dan boleh dibahagikan kepada dua iaitu ‘fishing tourism’ dan ‘tourism fishing’ (tourism angler). Dalam hal ini, aktiviti memancing dilakukan semasa lapang dan melibatkan elemen rekreasi.

Perbezaan yang paling besar antara fishing tourism dan tourism fishing ialah tujuan memancing sama ada ia menjadi motif utama percutian atau sebaliknya.

Menurut Abang Jamal yang mengusahakan bot pelancongan memancing, terdapat beberapa tempat yang menarik yang sering dikunjungi kaki pancing seperti Terumbu Sahab, Terumbu Saji, Permas, M1, M3, Kumang, Petinggi Ali dan banyak lagi.

Kebiasaannya mereka yang ingin menumpaskan ikan yang melebih 10kg ini akan membuat tempahan lima hari untuk setiap ekspedisi.

Pengalaman bersama-sama pemancing tegar ini sememangnya sukar untuk digambarkan kerana hasil yang diperoleh dikongsi bersama.

Selain itu konsep kerjasama berpasukan ditunjukkan dalam ekspedisi ini telah membuahkan hasil yang lumayan dengan tangkapan seperti Dogtooth Tuna , Yellowfin Tuna, Red Snapper, Kakap, Kerisi Kuda, Durian, Rainbow Runner, GT, Cupak, Kertang, Lotun dan Merah.

Hasil yang diperolehi dibahagikan sama rata dengan setiap peserta ekspedisi membawa pulang isian ikan sebanyak 150 liter. Paparan hasil ekspedisi juga boleh ditonton melalui paparan http://www.youtube.com/user/atoycomstar.

  • oleh
  • Advertisement