Anda di sini

Belia pewaris perjuangan

Advertisement
 Abang Johari (tengah) dan tetamu kehormat lain bergambar kenangan bersama para peserta selepas sesi ‘townhall’ di Dewan Bekenu, petang semalam.
PERKASA BELIA: Abang Johari (tengah) dan tetamu kehormat lain bergambar kenangan bersama para peserta selepas sesi ‘townhall’ di Dewan Bekenu, petang semalam.

BEKENU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyediakan belia dengan ekosistem dan hala tuju yang menggerakkan peranan mereka sebagai pewaris perjuangan membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara usaha tersebut ialah melengkapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk membolehkan mereka berdepan cabaran-cabaran sengit.

“Kita sediakan orang muda kita agar mereka mendapat ekosistem yang baik bagi meneruskan usaha akan datang. Kita hendakkan orang muda kita bercampur gaul dengan orang berpengalaman.

“Apa yang perlu, kita aturkan barisan kepimpinan kita kerana cabaran lebih berat tetapi apabila didedah dengan ilmu, berperibadi tinggi, maka mereka dapat menyeimbangkan hala masing-masing dan majukan negeri kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Townhall Berambeh Ngan Abg Jo di Dewan Bekenu, petang semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,  Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak yang juga ADUN Bekenu Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan ADUN Lambir Ripin Lamat.

Abang Johari berkata, rakyat Sarawak bersyukur kerana memiliki perpaduan yang kukuh dan persefahaman erat.

Rakyat Sarawak juga katanya, mempunyai matlamat sama iaitu mahu menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Saya yakin masa depan kita cerah kalau kita mempunyai hala tuju yang betul, kompas yang betul. Bila kompas kita betul, kita tidak sesat seperti dunia digital memerlukan GPS,” jelasnya.

Katanya lagi, penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah pada landasan betul untuk pembangunan negeri ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana memberi pendedahan kepada golongan muda tentang pentingnya peranan mereka sebagai pemimpin masa depan.

Kerajaan Sarawak katanya, akan terus memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak termasuk mengembalikan semula hak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

  • oleh
  • Advertisement