Anda di sini

Tanam pokok ganja, empat pelajar didakwa

Advertisement

KUCHING: Empat pelajar tahun akhir di sebuah pusat pengajian tinggi di sini hadir untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan memiliki dan menanam pokok ganja di belakang rumah sewa mereka.

Fakrullah Aqmal Mohamad Roslan, 24, Mohd Sarhan Suriansah, 21, Muhammad Hafiz Azmi Mohamad Yahya, 22, dan Muhammad Nashihin Mat Zaidi, 23, masing-masing menghadapi dua pertuduhan dan didakwa di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa menanam anak pokok ganja di belakang rumah dan didakwa di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh didenda di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 33.69g ganja dan didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh didenda di bawah Seksyen 39(A)1 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan-kesalahan terbabit pada kira-kira jam 4 petang, 25 Februari 2019 di sebuah rumah di Matang.

Menurut fakta kes, beberapa barangan seperti alat pengisar ganja dan alat timbang digital turut dijumpai di rumah berkenaan semasa tangkapan dibuat.

Sementara itu di mahkamah sama, Fakrullah dan Mohd masing-masing didakwa secara berasingan atas kesalahan memiliki 154.23g dan 76.49g ganja.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh didenda di bawah Seksyen 39(A)2 kanun sama yang boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan boleh dikenakan denda serta disebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kesemua tertuduh untuk dibicarakan bersama pada 27 Mei depan.

Advertisement