Anda di sini

Sarawak adakan pertemuan dengan semua pemegang taruh dan penasihat undang-undang mulai minggu ini

Advertisement
FADILLAH YUSOF
FADILLAH YUSOF

KUCHING: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan pertemuan dengan semua pemegang taruh termasuk penasihat undang-undang bermula minggu ini bagi memperbetulkan kelemahan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara itu didedahkan Ketua Whip Parlimen GPS Dato Sri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan di sini semalam berhubung pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang gagal diluluskan di Dewan Rakyat 9 April lalu.

"Jika kita mahu membetulkan perkara ini, biarlah kita melakukan perkara yang betul dari mula dan menutup semua kelemahan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum kita meluluskan RUU ini pada Julai nanti. 

"Kegagalan untuk meminda RUU ini pada minggu lalu bukanlah penamat dalam usaha ini dan saya percaya keikhlasan kerajaan persekutuan untuk membentangkan kembali RUU ini dengan pindaan yang kita mahukan," katanya menerusi satu kenyataan, pada Jumaat.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Sarawak tidak meminta lebih daripada apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi mahu memperkukuhkan dan menyelesaikan sebarang kemungkinan kelemahan untuk melindungi kepentingan Sarawak.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan telah dirangka lebih daripada setengah abad lalu. 

"Perkara telah berubah sejak itu dan anda tidak boleh mengharapkan ia menjadi dokumen yang sempurna tanpa kelemahan.

"Daripada pengalaman selama bertahun-tahun, kami telah menemukan kelemahan seperti yang terdapat dalam Perkara 161A (7) iaitu senarai kaum yang berasal dari Sarawak tidak menyenaraikan kaum Iban, Bidayuh atau bahkan Lun Bawang.

Malah, kata beliau, takrifan 'Hari Malaysia' juga hilang ketika membentuk Perlembagaan Persekutuan. 

"Inilah sebabnya kita amat teliti dalam meminda RUU ini kerana mengambil kira semua perkara dan kelemahan lain. 

"Kita tidak mengundi RUU ini, kita tidak menolak RUU ini, kita berkecuali kerana ketika kita mahukan RUU ini diluluskan tetapi kita merasakan ia perlu ditambahbaik,"

"Kita sudah lama menunggu RUU ini sejak berdekad, sudah pastinya kita dapat menunggu untuk tiga bulan lagi sehingga Persidangan Parlimen akan datang dengan menyemak semula RUU ini sebelum ia dibentangkan semula," tambah Fadillah. 

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, memang benar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberi persetujuan secara prinsip tetapi ia hanyalah secara prinsip kerana tidak disertakan perincian draf RUU yang hendak dipinda. 

Malah, beliau memberitahu, perkataan asal MA63 dan draf RUU boleh diperbaiki dan diperkukuhkan lagi. 

Pada masa sama Fadillah berkata, ramai yang melahirkan rasa kecewa berhubung pindaan RUU Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang tidak diluluskan ketika dibentangkan di parlimen Selasa lalu. 

Malah, katanya, segelintir pihak mula menunding jari dan mencari kesalahan di atas ketidakpuasan itu. 

Bagaimana pun, jelasnya, apabila ia melibatkan usaha mengembalikan semula hak Sarawak dan Sabah termasuk melindungi kepentingan Sarawak, seharusnya tiada kompromi tentang perkara ini. 

Malah, beliau menganggap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong, Menteri Kerja Raya Baru Bian dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen bukan musuh. 
 
"Tiada lain yang lebih bersemangat berbanding kita GPS dan kita sangat menyedari bahawa kita akan berhadapan dengan kecaman besar politik dari kalangan mereka yang tidak faham tentang isu atau tidak memahami usaha kita dalam memulihkan hak Sarawak. 

"Malah, tiada siapa yang boleh mempersoalkan bahawa kita GPS lebih sayangkan Sarawak, itulah sebabnya kita berdiri teguh walaupun kita tahu akan ada tindak balas politik tertentu," ujarnya. 

Sehubungan itu, kata Fadillah, sebab itu pihaknya menyertakan bersama jadual dalam kenyataan ini yang menerangkan fasal-fasal RUU yang hendak dipinda supaya rakyat memahami perkara tersebut. 
 

  • oleh
  • Advertisement