Anda di sini

Pekerja kedai pakaian didakwa miliki lebih 21,000 baju tiruan berjenama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai pakaian warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki lebih 21,000 helai baju tiruan berjenama, bernilai lebih RM500,000, Isnin lepas.

Mohammad Jony Bhuiyan, 24, didakwa memiliki baju tiruan jenama Puma sebanyak 4,625 unit, Levi’s (2,850 unit), Adidas (7,040 unit), Gucci (809 unit), Nike (2,780 unit), Tommy Hilfiger (2,670 unit) dan Reebok (1,160 unit), keseluruhannya berjumlah 21,934 untuk tujuan pembekalan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di premis RJ One Creative International Sdn Bhd, No. 16-1, Lorong Meranti Off Jalan Kenanga, di sini pada 6.30 petang, 8 April 2019 mengikut Subseksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 8 (2) (B) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, sebuah syarikat dan pengarahnya masing-masing mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memiliki baju, seluar dan topi tiruan berjenama untuk tujuan pembekalan barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, berhubungan dengan cap dagangan berdaftar.

Syarikat tersebut, Mister Topmen Fashion Sdn Bhd, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan pengarahnya Woo Ching Shun, 36, didakwa memiliki  baju jenama Adidas, Tommy Hilfiger, Nike dan Puma sebanyak 2,688 unit, seluar jenama Tommy Hilfiger, Nike dan Gucci sebanyak 374 unit dan topi jenama Nike, Adidas, Tommy Hilfiger, Gucci, Puma dan Burberry sebanyak 2,424 unit yang keseluruhannya berjumlah RM5,486.

Syarikat itu dan Woo yang juga pemilik syarikat tersebut dituduh melakukan perbuatan tersebut di Mister Topmen Fashion Sdn Bhd, No. 16, Lorong Meranti Off Jalan Kenanga di sini pada waktu dan tarikh sama mengikut seksyen serupa yang memperuntukkan hukuman sama.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mustaza Nabila Muslimin tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap Mohammad Jony namun jika mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah RM40,000 dengan dua penjamin warga Malaysia berserta syarat-syarat tambahan kerana tertuduh warga asing manakala wang jaminan bagi Woo ditawarkan  RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam S.S Ruban yang mewakili Mohammad Jony memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh bukan pemilik kedai tersebut sebaliknya hanya bekerja di situ selain kurang berkemampuan dan datang ke Malaysia bekerja untuk menyara keluarganya di Bangladesh.

Woo yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan dia tidak mempunyai wang yang mencukupi kerana perniagaannya semakin merosot selain perlu menyara keluarga.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan Mohammad Jony diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Woo dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula  ketiga-tiga kes. — Bernama

Advertisement