Anda di sini

Jerayawara IT 2019 diadakan di Sing Kwong, Jalan Salim 3-5 Mei

Advertisement
 Tiong (duduk, tengah) bersama Wong (duduk, dua kanan), Lai (duduk, dua kiri) serta ahli jawatankuasa pengelola program sempena Jerayawara IT, Kempen Kitar Semula E-Waste dan Hari Cintai Bumi 2019.
BERI SOKONGAN: Tiong (duduk, tengah) bersama Wong (duduk, dua kanan), Lai (duduk, dua kiri) serta ahli jawatankuasa pengelola program sempena Jerayawara IT, Kempen Kitar Semula E-Waste dan Hari Cintai Bumi 2019.

SIBU: Orang ramai dijemput mengunjungi Jerayawara IT 2019 yang akan berlangsung di Sing Kwong, Jalan Salim pada 3 hingga 5 Mei dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Jerayawara tahunan anjuran Persatuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sarawak (SICTA) Cawangan Sibu kali ini menawarkan harga istimewa RM13 untuk satu pemacu kilat 32GB yang terhad kepada 50 unit satu hari mengikut terma dan syarat yang dikenakan.

Pengerusi SICTA Cawangan Sibu Wong Ing Ang berkata, pihak penganjur telah menyediakan 12 gerai untuk Jerayawara IT 2019.

“Setakat ini, sembilan gerai telah mengesahkan penyertaan dan mereka yang berminat menyertai jerayawara boleh menghubungi pengerusi pengelola Siek Hieng Hoe (014-8998888) atau Eason Wong (013-8092920),” jelasnya kepada pemberita di sini, semalam.

Wong berkata, pihak penganjur turut menganjurkan Kempen Kitar Semula E-Waste bagi membantu orang ramai melupuskan produk elektronik seperti komputer, pencetak, aksesori komputer dan sebagainya.

“Orang ramai yang memiliki komputer terpakai atau rosak, pencetak, aksesori komputer diminta membawa semua barangan tersebut ke hadapan Sing Kwong, Jalan Salim pada tarikh dan waktu yang sama dengan jerayawara,” ujarnya.

Sementara itu, pengerusi pengelola kempen Hari Cintai Bumi 2019, Kaunselor Lai Chiong Ann berkata, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) turut mengambil bahagian dalam kempen kitar semula yang diadakan di tempat letak kereta berbumbung di Wisma Sanyan pada 19 hingga 21 April.

Lai menyeru orang ramai memberi sokongan penganjuran kempen tersebut sebagai sokongan kepada MPS mewujudkan persekitaran bandar Sibu yang bersih dan sihat.

“Marilah kita bersama-sama memberi sokongan kepada program alam sekitar untuk memelihara dan memulihara alam sekitar,” jelasnya.

Hadir sama ialah Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King.

Advertisement