Anda di sini

Tak takut buaya sebab nak elak diperiksa

Lelaki yang disyaki penagih dadah (dibulat) nekad terjun sungai ada buaya. Gambar kecil menunjukkan anggota AADK memeriksa suspek.
Lelaki yang disyaki penagih dadah (dibulat) nekad terjun sungai ada buaya. Gambar kecil menunjukkan anggota AADK memeriksa suspek.

KOTA SAMARAHAN: Gara-gara takut diperiksa menyebabkan seorang lelaki disyaki penagih dadah nekad terjun ke dalam sungai yang ada buaya dalam satu operasi di Kampung Asajaya dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Winnie Lugit berkata lelaki terbabit merupakan antara 17 individu yang ditahan dalam operasi ‘Ops Perdana’ tersebut yang diadakan sejak 10 April di kawasan Asajaya, Sadong Jaya dan Kota Samarahan. 

Menurutnya kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 48 tahun.

“Dalam operasi tersebut, seorang disyaki penagih dadah berjaya meloloskan diri dengan nekad terjun ke dalam sungai tanpa menghiraukan keselamatan dirinya.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati 12 daripada 17 individu yang ditahan disahkan positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan usaha mengesan suspek yang terjun ke dalam sungai masih dijalankan, termasuk untuk mengenal pasti identitinya.

Kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat AADK Sarawak untuk tindakan selanjutnya.