Anda di sini

Swafoto bertukar jadi tragedi berdarah

Advertisement
Mangsa dirawat di Unit Kecemasan, Hospital Umum Sarawak.
Mangsa dirawat di Unit Kecemasan, Hospital Umum Sarawak.

KUCHING: Swafoto membawa padah apabila seorang lelaki ditetak kerana dituduh mengambil gambar tanpa kebenaran di sebuah kedai makan di Matang sekitar jam 5.30 petang, Jumaat.

Mangsa berusia 22 tahun, dari Taman Kopodim, Matang, cedera di tangan dan kaki.

Difahamkan mangsa semasa kejadian bersama seorang rakan wanita berkunjung ke kedai tersebut untuk minum petang sebelum kedua-dua mereka berswafoto bersama.

Bagaimanapun, gelagat mereka tidak disenangi seorang lelaki yang turut berada di kedai tersebut dan mendakwa mereka cuba mengambil gambarnya.

“Suspek yang duduk di belakang mereka kemudian menegur mangsa kerana mengesyaki gambarnya telah diambil tanpa kebenaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga suspek beredar dari tempat kejadian.

“Kira-kira 15 minit kemudian, suspek datang kembali bersama seorang rakannya dan terus bertindak menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai parang,” kata sumber.

Suspek bersama rakannya itu yang turut dikatakan cuba merompak telefon bimbit mangsa kemudian beredar dari tempat kejadian meninggalkan mangsa yang kemudian dibantu oleh rakan serta orang ramai.

Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Bomba dan Penyelamat memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum membawanya ke Hospital Umum Sarawak.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa dikatakan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan.

  • oleh
  • Advertisement