Anda di sini

Sorok dadah dalam sarung bantal, pelajar sekolah positif dadah

Advertisement
 Syabu seberat 2.2 gram serta barang kes lain yang dirampas.
BARANG KES: Syabu seberat 2.2 gram serta barang kes lain yang dirampas.

KANOWIT: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini ditahan selepas didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kanowit ASP Mohd Faisal Nawi dalam satu kenyataan semalam berkata, pelajar lelaki itu ditahan dalam serbuan anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit diketuai Inspektor Shazrin Nizam di hadapan sekolah terbabit sekitar jam 9 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Task Force IPD Kanowit telah menahan suspek yang berkelakuan mencurigakan di hadapan pintu masuk sekolah berkenaan,” ujarnya.

Mohd Faisal berkata, suspek berusia 17 tahun itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya.

“Ketika pemeriksaan tubuh badan suspek dilakukan, tiada barang salah dijumpai namun hasil soal siasat awal, suspek mengaku mengambil dan menghisap dadah dan memberitahu bekalan dadah disimpan di rumah,” jelasnya.

Susulan itu katanya, anggota polis dipandu arah suspek ke kediamannya di sebuah rumah panjang di sini.

 Suspek menunjukkan dadah jenis Methamphetamine atau syabu yang disorok dalam sarung bantal.
MENGAKU: Suspek menunjukkan dadah jenis Methamphetamine atau syabu yang disorok dalam sarung bantal.

Katanya lagi, anggota polis kemudian dibawa masuk ke bilik tidur suspek di mana suspek mengambil satu peket plastik berwarna kuning dan satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu yang disorokkan dalam sarung bantal milik suspek.

Justeru katanya, suspek ditangkap kerana memiliki dadah berbahaya tersebut yang dianggarkan seberat 2.2 gram.

“Pelajar terbabit dibawa balik ke balai dan pihak kami telah merampas semua barang kes.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sibu.

“Pihak kami akan sentiasa memantau sebarang kegiatan atau aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini dan tindakan akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang terlibat,” tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement