Anda di sini

Proses kenaikan pangkat cungkil bakat kepimpinan

Advertisement
 KESEMUA kakitangan yang dinaikkan pangkat mengambil gambar kenangan bersama para tetamu kehormat.
KESEMUA kakitangan yang dinaikkan pangkat mengambil gambar kenangan bersama para tetamu kehormat.

KOTA KINABALU: Seramai 60 orang kakitangan pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai skim perkhidmatan telah dinaikkan pangkat dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Kafe D'Sireh, UMS pada 10 April lalu.

Pendaftar UMS Vina Zahriani Yusof berkata, proses penilaian kenaikan pangkat yang bermula sejak 2 Januari 2019 lalu turut memperkenalkan pendekatan 360 darjah.

"Selain dari proses temu duga dan penilaian daripada ketua jabatan, penilaian unik ini turut mengambil input dari rakan sepejabat kakitangan yang memohon kenaikan pangkat ini.

"Menerusi proses ini juga, kakitangan diuji dengan beberapa kemahiran termasuklah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, selari dengan UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertaraf global.

"Selain memberi motivasi, kita percaya bahawa proses yang telah dilalui oleh kakitangan ini berupaya mencungkil dan memantapkan lagi bakat kepimpinan sedia ada mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftar akan berbincang dengan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS bagi menengani usaha meningkatkan kemahiran berbahasa lain kepada kakitangan seperti bahasa Mandarin yang kian meningkat popular sebagai bahasa perniagaan global sesuai dengan kapasiti UMS yang tuntas meningkatkan keterlihatannya di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin turut memuji usaha Jabatan Pendaftar kerana berjaya meningkatkan peratusan kenaikan pangkat tahun ini kepada 61 peratus.

"Ini memberikan indikasi bahawa UMS sentiasa melihat proses kenaikan pangkat ini sebagai satu usaha yang boleh meningkatkan lagi daya saing kakitangan terlibat.

"Saya juga menyeru agar semua kakitangan menunjukkan prestasi yang membanggakan dan mengagumkan agar bakat kepimpinan yang ditunjukkan sebelum ini dapat memberikan manfaat kepada universiti, masyarakat dan negara amnya," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Ketua Pustakawan, Zawawi Tiyunin; Ketua Bahagian Sumber Manusia, Mohd Raffie Janau serta pegawai-pegawai kanan UMS.

  • oleh
  • Advertisement