Anda di sini

PKS diminta manfaatkan Skim Pinjaman Mudah RM517 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu memanfaatkan kemudahan pembiayaan Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modenisasi (SLSAM) sebanyak RM517 juta yang masih ditawarkan oleh pihak Malaysia Development Finance Berhad.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata MIDF juga telah meluluskan pinjaman berjumlah RM2.2 bilion di bawah SLSAM untuk 350 PKS tempatan sejak 2007.

Malah, SLSAM juga merupakan pembiayaan terbesar dari segi saiz dana bagi enam skim di bawah pengurusan MIDF.

“Ia bermatlamat membantu pengusaha tempatan melaksanakan aspek automasi dalam proses pembuatan selain menyokong perjalanan mereka agar seiring tuntutan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MIDF dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi mempromosikan Industri 4.0 dan membiayai kemudahan pendanaan bagi PKS tempatan menerusi pelbagai pakej bantuan kewangan.

Charon Wardini turut menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti usaha dan komitmen MIDF dalam ekosistem MTDC bagi meningkatkan kemampuan dan perkhidmatan atau kemudahan dan infrastruktur pembuatan dalam usaha melonjakkan produktiviti mereka.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata kedua-dua agensi itu akan saling memberi kemudahan perkongsian maklumat mengenai PKS bagi memperkukuh dan meningkatkan kemahiran serta pembangunan syarikat terbabit.

“Kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian bagi MTDC. Kami akan mengenal pasti PKS yang boleh melaksanakan dan mengetengahkan produk seiring dengan Industri 4.0 dan bekerjasama dengan MIDF dalam aspek penting perkhidmatan kewangan dan nasihat untuk mereka,” katanya.

Norhalim berkata sejajar peranannya sebagai pengubah strategik bagi Industri 4.0, MTDC turut menggalakkan PKS tempatan menjadi  inovatif dan membangunkan kemampuan teknologi yang diperlukan oleh piawaian baharu industri.

“MTDC akan berkongsi kepakaran dalam aspek pembangunan teknologi, pemindahan teknologi serta pengkomersialan,” katanya.

Menurutnya, PKS juga akan mendapat akses kepada penyedia penyelesaian Industri 4.0 tempatan menerusi sembilan pusat terasnya. — Bernama

Advertisement