Anda di sini

Pegawai polis didakwa terima wang tunai RM17,000

Advertisement
 ASP Md Maizaili dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima wang tunai bernilai RM17,000 dua tahun lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: ASP Md Maizaili dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima wang tunai bernilai RM17,000 dua tahun lepas. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima wang tunai bernilai RM17,000 dua tahun lepas.

Tertuduh, ASP Md. Maizaili Mohamed, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM17,000 daripada seorang individu Toh Seng Huat melalui akaun Maybank Islamic Berhad miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 6 Februari 2107 hingga 15 Mei 2017 di Maybank Islamic Bank Berhad cawangan Muar di No 104, Jalan Abdullah dekat Muar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAATFPUAA) 2001 (AKTA 63).

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau peralatan  kesalahan atau lima juta ringgit atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Farez Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Mei depan.

— Bernama

Advertisement