Anda di sini

Dua remaja didakwa rogol gadis 15 tahun

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Dua remaja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun yang baru mereka kenal.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh berusia 18 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rogol berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Sri Serigai, Penampang pada 31 Mac, jam 2 pagi.

Untuk itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faezah Jafry dengan tegas membantah tertuduh diikat jamin kerana ia adalah kesalahan yang tidak boleh diterima.

Sebaliknya, Peguam bela Azhier Farhan Arisin yang mewakili kedua-dua tertuduh, meminta kelonggaran kepada mahkamah supaya memberikan jaminan kepada anak guamnya.

Menurut beliau, tertuduh pertama hanya bekerja sebagai pelatih terapi di sebuah spa dan tidak memiliki pendapatan tetap kerana masih bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.

Azhier juga menjelaskan bahawa ibu tertuduh baru sahaja didiagnosis menghidapi penyakit kanser payu dara tahap tiga dan baru menjalani pembedahan tahun lepas dan kini menjalani enam sesi kemoterapi dan 15 sesi radiologi.

Sementara itu, Azhier berkata, anak guamnya kedua tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal bersama ibu dan bapa tirinya.

Justeru, Azhier merayu supaya jaminan dapat dikurangkan memandangkan kedudukan kewangan kedua- dua anak guamnya tidak menentu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 3 Mei dan perbicaraan pada 29 hingga 31 Julai depan, beserta jaminan RM8,000 dan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh juga diarahkan mahkamah supaya tidak berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan, dan melaporkan diri di balai polis bedekatan dua hari seminggu.

Dalam mahkamah berasingan, tertuduh pertama juga memiliki pertuduhan kedua di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada lelaki lain berusia 27 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh bersama seorang lagi tertuduh berusia 25 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

Mereka masing- masing ditawarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 beserta dua penjamin tempatan, serta diarah melapor diri di balai polis berdekatan dua kali seminggu.

Mahkamah juga menetapkan 14 Mei depan bagi pengurusan kes terhadap kedua-dua tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement