Anda di sini

PGA lakar kejayaan besar

Advertisement
 Frediel (duduk tengah) bersama anggota pasukan Batalion 10 PGA yang terlibat dalam operasi serbuan di Ulu Sungai Uka, Poi, Kanowit Isnin lalu.
HASIL RISIKAN: Frediel (duduk tengah) bersama anggota pasukan Batalion 10 PGA yang terlibat dalam operasi serbuan di Ulu Sungai Uka, Poi, Kanowit Isnin lalu.

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) melakar kejayaan besar dalam usaha memerangi pembalakan haram apabila melakukan rampasan bernilai RM2.5 juta dalam dua operasi berasingan di Kanowit dan Serian.

Dalam operasi di Ulu Sungai Uka, Poi, Kanowit pada Isnin lalu, anggota PGA Batalion 10 dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) Bahagian Sibu berjaya merampas sejumlah 260 batang balak haram dan pelbagai barang kes bernilai 1.4 juta.

Ops Libas itu diketuai Pegawai Risik Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu DSP Frediel Nyambong berkata, turut dirampas dalam serbuan sekitar jam 12 tengah hari itu ialah dua jengkaut, dua jentolak, dua pacuan empat roda, satu unit gergaji berantai, satu unit pam air, dua genset dan satu unit genset pengimpal.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan tersebut merupakan nilai rampasan terbesar yang dilakukan dalam tahun ini.

Semasa serbuan itu katanya, dua pemandu jengkaut sedang menjalankan kerja-kerja memunggah kayu balak di kawasan logpond tersebut.

“Seorang lelaki berumur 50 tahun mengaku pemilik jentera-jentera yang digunakan untuk menjalankan kegiatan pembalakan yang dipercayai secara haram di kawasan tersebut, manakala seorang lagi lelaki warganegara Indonesia berusia 39 tahun telah ditahan kemudian,” katanya pada sidang media di Sibu, pagi semalam.

 Anggota Batalion 11 PGA memeriksa kayu balak yang ditemui di di Kampung Pati Kenyalang, Jalan Ensengei, Serian.
PERIKSA: Anggota Batalion 11 PGA memeriksa kayu balak yang ditemui di di Kampung Pati Kenyalang, Jalan Ensengei, Serian.

Frediel berkata, hasil pemeriksaan mendapati kayu balak tersebut tidak mempunyai tanda tukul Jabatan Hutan (JH) dan tanda tukul Hak Milik (PM).

“Kesemua barang rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada pihak Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam Ops Libas yang dilancarkan di Kampung Pati Kenyalang, Jalan Ensengei, Serian, Batalion 11 PGA menggempur satu lokasi sindiket pembalakan haram membabitkan nilai rampasan mencecah RM1.1 juta, Selasa lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Superintenden Rosdi Inai berkata, serbuan hasil daripada risikan dan maklumat awam sekitar jam 4.30 petang itu menyaksikan seorang lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun turut ditangkap.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti pengambilan kayu balak dan seorang lelaki warga asing yang mengaku sebagai penyelia di kawasan tersebut juga gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berhubung aktiviti (pembalakan) tersebut.  

“Susulan itu, lelaki terbabit ditahan dan sebanyak 1,003 batang pelbagai jenis kayu balak serta dua jentera berat dirampas untuk siasatan lanjut,” ujarnya di Kuching, semalam.

Rosdi berkata, tangkapan dan rampasan tersebut kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, PGA Sarawak berjaya melakukan rampasan bernilai RM7.75 juta menerusi pelbagai operasi dalam suku pertama tahun ini di bawah Op Awas (RM120,000), Op Batas (RM70,00) dan Op Libas (RM7.56 juta).

Selain itu, seramai 257 orang ditangkap yang terdiri daripada 45 warga tempatan dan 212 pendatang asing tanpa izin (PATI).

  • oleh
  • Advertisement