Anda di sini

Pecah amanah, jurujual kena 10 setengah tahun

Advertisement
 Lai dibawa keluar dari mahkamah selepas pendakwaan atas pertuduhan pecah amanah.
TERBONGKAR: Lai dibawa keluar dari mahkamah selepas pendakwaan atas pertuduhan pecah amanah.

SIBU: Seorang jurujual berusia 48 tahun dijatuhkan hukuman penjara berjumlah sepuluh setengah tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah.

Lai Say Fung didakwa melakukan pecah amanah antara 10 Ogos, 2016 dan 2 Mei, 2018 membabitkan wang sebanyak RM55,608.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit dengan kesalahan.

Mahkamah terdahulu menjatuh hukuman penjara antara satu tahun sehingga tiga tahun bagi keenam-enam pertuduhan terbabit, di mana hukuman berjalan serentak.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengurus syarikat menjual perabot di Jalan Hulu Lanang mendapati seorang jurujual iaitu tertuduh mempunyai tunggakan bayaran daripada dua pelanggan.

Pengurus terbabit kemudian menghubungi kedua-dua pelanggan berkenaan dan bertanya mengenai tunggakan tersebut.

Namun kedua-dua mereka memaklumkan telah membuat bayaran kepada tertuduh dan mempunyai resit sebagai bukti.

Setelah ditanya pengurus terbabit, tertuduh memberitahu telah menerima bayaran daripada 40 pelanggan dan tidak menyerahkan wang sebanyak RM247,479 kepada syarikat.

Siasatan bagaimanapun mendapati tertuduh hanya mengutip bayaran daripada enam pelanggan serta tidak menyerahkan wang sebanyak RM55,608 kepada syarikat.

Advertisement