Anda di sini

AirAsia adakan penerbangan terus harian dari Pulau Pinang ke Melaka

Advertisement
 

KUCHING: AirAsia bakal terbang ke negeri bersejarah Melaka dengan penerbangan terus harian baharu dari Pulau Pinang bermula 1 Julai 2019.

Perkhidmatan baharu ini dijangka akan meningkatkan kedatangan pelancong ke bandar tersebut, seterusnya menyokong sasaran kerajaan negeri untuk menarik 20 juta orang pelancong pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, negeri Melaka yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan kaya dengan sejarah adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.

“Justeru, laluan baharu ini akan mengukuhkan lagi rangkaian pelancongan kami di Malaysia, di samping menawarkan lebih banyak pilihan untuk para pelawat antarabangsa untuk melancong antara negeri Pulau Pinang dan Melaka.

“Kami berharap agar dapat meneruskan usaha kami untuk menghubungkan lebih banyak laluan baharu ke Melaka dari rantau ASEAN,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Untuk meraikan laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tempat duduk percuma bermula daripada RM12 untuk perjalanan sehala.

Para tetamu juga boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus untuk tempahan hotel di Melaka atau Pulau Pinang dan tambahan diskaun sebanyak 5 peratus jika tempahan dibuat dengan kod promosi HOTEL5.

Tempahan boleh dibuat di laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bermula dari sekarang sehingga 21 April 2019, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2019 dan 2 Jun 2020.

Salah satu destinasi percutian yang paling popular di Malaysia, Melaka telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008.

Antara tempat-tempat pelancongan yang menarik di Melaka ialah Kota A Famosa, Bukit St Paul, Stadthuys dan Gereja Christ yang merupakan bangunan kolonial yang telah ditubuhkan ketika era Portugis, Belanda dan Inggeris.

Selain itu, para pelancong juga dapat menikmati aktiviti-aktiviti air yang menyeronokkan di Melaka Wonderland; menyewa beca untuk lawatan santai dan bersiar-siar di sepanjang Sungai Melaka sambil menikmati pemandangan mural indah di sepanjang jalan.

Melaka menawarkan hidangan eksklusif dan tradisional Nyonya seperti sate celup daging, makanan laut atau sayur-sayuran cucuk yang dicelup dalam kuah istimewa, putu piring iaitu kuih tepung beras kukus berinti gula Melaka, asam pedas, nasi ayam kepal dan banyak lagi.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).

Advertisement