Anda di sini

15 tuduhan menipu, guru kena penjara tujuh tahun

Advertisement
 Febian dibawa keluar dari mahkamah setelah didakwa atas 15 pertuduhan menipu.
DIHUKUM: Febian dibawa keluar dari mahkamah setelah didakwa atas 15 pertuduhan menipu.

SIBU: Seorang guru dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini petang semalam setelah mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan menipu membabitkan tawaran pekerjaan dalam sektor awam.  

Febian Siges, 52, yang didakwa di dua mahkamah berasingan dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi 13 pertuduhan dan empat tahun bagi dua lagi pertuduhan.

Tertuduh diperintah menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Febian didakwa melakukan kesalahan itu diantara Oktober 2018 hingga Mac, 2019, membabitkan kerugian sebanyak RM25,300.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memperdayakan mangsa untuk membuat pembayaran wang secara berperingkat kepada akaun bank miliknya bagi mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.

Siasatan pihak polis mendapati tawaran pekerjaan dalam sektor awam terbabit tidak wujud dan wang mangsa telah digunakan untuk kegunaan peribadi.

Febian telah ditangkap di Kuching pada 27 Mac lepas dan tujuh lagi kertas siasatan kes masih dalam siasatan.

Advertisement