Anda di sini

Pindaan Perlembagaan Persekutuan tidak berpandukan MA63

 

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk tidak mengundi atau berkecuali berikutan keengganan kerajaan persekutuan menyetujui cadangan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kenyataan bersama menjelaskan GPS tidak mengundi untuk menolak atau menyokong RUU berkenaan.

"Pindaan itu dibuat secara terburu-buru dan tidak memenuhi tuntutan sebenar Sarawak. Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan telah meminda pindaan asal selepas mendapat cadangan daripada pihak kita, namun pindaan berkenaan tidak dibuat sepenuhnya serta tidak memasukkan "pursuant to MA63".

"Pindaan Perkara 1(2) sahaja tidak memadai, ia perlu disertai dengan pindaan Perkara 160(2) untuk mengelak kekeliruan mengenai tafsiran Persekutuan. 

"Dalam Malaysia ada 2 Persekutuan iaitu – i) Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Malaya 1957 dan ii) Persekutuan Malaysia yang diasaskan melalui Perjanjian Malaysia 1963  namun Perjanjian Malaysia tidak dirujuk dalam mana-mana bahagian dalam perlembagaan.

"Disebabkan kita tidak boleh meminda Perkara 160(2) di bawah peraturan mesyuarat, maka kita telah mencadangkan dimasukkan Perkara “pursuant to MA63” dalam pindaan kepada perkara 1(2)," menurut kenyataan bersama itu.

GPS juga telah mencadangkan pindaan kepada definisi “federation” dan dalam Artikel 160 (2) dengan memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun cadangan ini tidak dipersetujui.

GPS turut mencadangkan supaya RUU itu dibawa untuk perbincangan lanjut di peringkat Jawatankuasa Khas dan turut dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Matlamat untuk menyamaratakan kedudukan Sabah, Sarawak dan Malaya berteraskan MA63 namun cadangan untuk memasukkan MA63 telah tidak dipersetujui Kerajaan Persekutuan. 

"Cadangan pindaan berkenaan tidak bersifat menyeluruh sebaliknya hanya bersifat ‘tangkap muat’ semata-mata bertujuan memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bagi GPS, selain dari keinginan pengiktirafan status, apa yang lebih penting ialah untuk hak-hak dan keistimewaan Sarawak dikembalikan setelah lama terhakis. 

"Kami juga ingin PH menunaikan manifesto mereka mengenai hak royati minyak dan gas, dan juga peruntukan pembangunan yang seharusnya diberikan," tegas ahli-ahli parlimen GPS.