Anda di sini

Isu penipu dan pengkhianat, Uggah dan Vernon bertembung di mahkamah

Advertisement
(Gambar kiri)Uggah bersama peguamnya, Sim di Kompleks Mahkamah Kuching, dan (gambar kanan) Vernon bersama para penyokongnya di ruang legar Kompleks Mahkamah Kuching.
(Gambar kiri) Uggah bersama peguamnya, Sim di Kompleks Mahkamah Kuching, dan (gambar kanan) Vernon bersama para penyokongnya di ruang legar Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau merupakan mangsa fitnah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit. 

Uggah yang merupakan plaintif kes ini memberitahu beliau sering dikritik hebat pihak lain tetapi tiada yang pernah memfitnah beliau seperti yang dilakukan Vernon.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Saban memfailkan kes saman fitnah pada 8 Ogos 2018 dipanggil sebagai saksi pertama oleh peguamnya Sim Hui Chiang.

Manakala Vernon yang merupakan defendan kes berkenaan turut hadir pada perbicaraan kes yang menjadi tumpuan ramai para penyokong kedua dua pihak.
 
Vernon didakwa melabelkannya sebagai 'penipu' dah 'pengkhianat' menerusi satu kenyataan yang dihantar ke kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.

Sim percaya Vernon akan gagal dalam mempertahankan dirinya memandangkan beliau tidak mempunyai bukti kukuh pembelaan.

Vernon mengeluarkan pernyataan tersebut setelah mengulas mengenai ketidaksempurnaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang menukarkan Hak Tanah Adat (NCR) kepada domain kawasan peribumi (NTD). 

Uggah menyangkal dakwaan Vernon yang menyatakan beliau berbohong apabila beliau menjelaskan ‘hak usfruktuari’ sebagai hak untuk memiliki dan menggunakan.

Ketika pemeriksaan balas, Desmond Kho peguam mewakili Vernon memberi hujah dengan menyatakan sebagai ahli politik Uggah tidak seharusnya tergugat dengan fitnah serta harus mempunyai tahap toleransi yang tinggi terhadap kritikan.

Mahkamah turut diberitahu mengenai respon Uggah terhadap fitnah yang pernah diterbitkan dalam portal berita tempatan DayakDaily.
 
Kedua-dua pihak akan memanggil saksi-saksi lain selain Uggah dan Vernon.

Turut hadir untuk memberikan sokongan adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ketua komuniti.

Perbicaraan akan diteruskan esok.

  • oleh
  • Advertisement