Anda di sini

Caca, si cilik pemain sape berbakat besar

Advertisement
 Caca bersama dengan ibu dan ayahnya yang sangat menyokong minatnya terhadap sape.
DEMI MINAT: Caca bersama dengan ibu dan ayahnya yang sangat menyokong minatnya terhadap sape.

BAKAT seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun bermain sape yang dikongsikan ribuan netizen serta mendapat tontonan kira-kira 10,000 dalam YouTube telah menjadi bualan ramai ketika ini.

Kemahirannya memetik sape dengan irama ‘Dutun Julud’ telah memukau netizen menerusi videonya yang berdurasi kira-kira lima hingga tujuh minit.

Kanak-kanak perempuan itu sebenarnya Asyalynna Limang Jackery yang berasal dari Sibu.

Utusan Borneo sempat berkunjung ke kediaman Asyalynna di Jalan Maludam di Sibu baru-baru ini bagi mengenali pemain sape cilik ini dengan lebih dekat lagi.

Asyalynna atau lebih mesra dipanggil dengan nama timangannya Caca, kini belajar dalam tahun dua di SK Bandaran No. 4.

Anak kepada pasangan Jackery Hillary Chukan, 47, dan Noria Nor, 40, ini merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Bapanya merupakan seorang guru di sekolah rendah di bandar Sibu dan merupakan penggiat seni yang tidak asing lagi di Sibu.

“Seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ dan itulah pepatah yang sesuai digunakan saya ketika menggilap bakat Caca ini.

“Caca mula bermain sape ketika setahun lepas ketika umurnya tujuh tahun,” kata Jackery.

Menurutnya, Caca sering melihat serta mendekatinya ketika beliau bersama-sama kawan-kawan bermain sape semasa sesi latihan di rumahnya setiap kali menerima undangan bermain alat muzik tradisional Orang Ulu itu.

“Dari situ saya melihat Caca mempunyai minat dan sering mendekati saya bila saya memegang sape ini.

“Kemudian saya tergerak untuk mewariskan sedikit sebanyak bakat yang saya ada kepadanya,” ujarnya lagi.

Jackery berkata, tidak susah untuk mengajar Caca bermain sape kerana dia mempunyai minat.

 Caca bersama ayahnya bermain sape irama Datun Julud.
SAMA MINAT: Caca bersama ayahnya bermain sape irama Datun Julud.

Bagaimanapun katanya, Caca diberikan masa tertentu lebih kurang sejam atau dua jam untuk mendalami ilmu sape ini kerana Jackery tidak mahu dia mengabaikan pelajarannya.

“Dulu saya sendiri mengajarnya dan kemudian saya menyuruhnya belajar sape daripada seorang guru sape iaitu Albinus Danggang dan juga ibu saudaranya sendiri.

“Makin lama, Caca sedikit mahir dan yakin untuk bermain secara solo ataupun secara berkumpulan mahupun berpasangan,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, sehingga kini Caca mahir memetik sape muzik Datun Julud, ‘Lileng’, ‘Lasan 1000’ serta lagu-lagu kontemporari sape yang lain.

Selain itu jelasnya, Caca juga mahir memetik lagu-lagu popular seperti ‘Anak Kampung’, ‘Kangen Rindu’ dan sebagainya menggunakan versi sape.

Caca juga kata Jackery, pernah membuat persembahan di pentas-pentas besar termasuk di peringkat antarabangsa untuk menunjukkan bakatnya.

Antara acara yang pernah disertai Caca ialah Pesta Kebudayaan Borneo di Sibu pada 2018, Ambang Sambutan Tahun Baharu 2018 (Sibu), Sambutan Pra Gawai Bahagian Sibu (Sibu), World Harvest Festival 2018 (Kuching), Festival Belia Sape Borneo (BYSF) 2017 (Sibu), Rainforest World Music Festival (RWMF) 2018 (Kuching) dan Muzik Jalanan Pusat Warisan Sibu 2018 (Sibu).

Caca pernah muncul sebagai peserta termuda yang membuat persembahan pada BYSF dan RWMF.

“Saya amat yakin dengan Caca jika dia digilap serta diberi latihan secukupnya dia mampu menjadi seorang pemain sape profesional pada suatu masa nanti,” kata Jackery lagi.

 Jackery (kanan) mengiringi Caca membuat persembahan.
PENYERI: Jackery (kanan) mengiringi Caca membuat persembahan.

Disebabkan minatnya kata beliau, apabila balik dari sekolah perkara pertama yang dibuat Caca ketika sampai di rumah ialah memetik sape.

“Disebabkan minatnya, saya membeli sebuah sape untuk Caca pada tahun lepas. Walaupun sape itu agak besar berbanding tubuhnya tetapi dia dilihat mudah mengendalikannya sambil jari-jemarinya pantas memetik,” kata beliau lagi.

Caca sering mengikuti ayahnya untuk membuat pelbagai persembahan apabila terdapat undangan.

Caca ketika ditemui juga memberitahu, dia sangat berminat dengan sape sambil mendedahkan bahawa dia sangat meminati ikon sape Sarawak iaitu Jerry Kamit.

“Dengan ayah, makcik dan Albinus saya belajar sape dan berharap suatu hari nanti boleh menjadi pemain sape profesional. Lepas ini saya mahu berlatih bersungguh-sungguh dan meningkatkan lagi kemahiran,” tambahnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement