Anda di sini

Sungai Balingian tumpuan kaki pancing udang galah

Advertisement
 Sungai Balingian dan perkampungan di Balingian menyajikan pemandangan yang indah.
MENDAMAIKAN: Sungai Balingian dan perkampungan di Balingian menyajikan pemandangan yang indah.

BALINGIAN menjadi tumpuan kaki pancing bukan sahaja dalam daerah kecil itu sendiri bahkan kaki pancing dari luar yang menyedari sungai di kawasan itu banyak dihuni udang terutamanya jenis udang galah sepit biru.

Tinjauan mendapati ramai kaki pancing menunggu pancing mereka penuh sabar di sekitar tebingan sungai mengharapkan ‘sepit biru’ tersangkut pada mata kail mereka dan ada juga kaki pancing menggunakan perahu memancing di tepi-tepi sungai.

Pada musim-musim tertentu, Sungai Balingian dihuni banyak sepit biru yang memberi keterujaan kepada kaki pancing untuk menangkapnya sehinggakan ada penduduk menangkap udang cara tradisional dengan menangguk mahupun menjala supaya tangkapan lebih banyak diperolehi.

Seorang kaki pancing yang mahu dikenali sebagai Ahmad Roslan, 40, yang ditemui Utusan Borneo berkata, beliau datang dari jauh semata-mata untuk memancing udang galah di Sungai Balingian.

“Hampir setiap hari saya turun ke sungai untuk memancing dengan harapan dapat menangkap udang bersaiz besar namun mungkin belum ada rezeki saya hanya memperolehi udang sederhana kecil dan selebihnya ikan baung yang banyak tersangkut pada mata kail,” ujarnya.

Katanya, keadaan itu mungkin dipengaruhi keadaan air yang kadang-kadang tawar dan kadang-kadang masin selain arus deras sungai yang sentiasa berubah-ubah.

Begitupun katanya, beliau tidak berputus asa untuk terus melabuhkan pancing di sungai itu dengan harapan akan mendapat rezeki sepit biru.

“Apa yang mewujudkan faktor ‘wow’ ialah apabila mata kail disentap udang ini yang sukar untuk digambar dengan kata-kata sehingga saya sendiri gian untuk terus memancing,” katanya.

Selain itu kata Ahmad, beliau teruja untuk memancing setelah melihat gambar-gambar dimuat naik dalam laman sosial Facebook mengenai sepit biru yang banyak ditangkap di sungai itu.

 Kaki pancing tertumpu di Sungai Balingian sedang menunggu penuh sabar pancing mengena pada udang galah.
JADI TUMPUAN: Kaki pancing tertumpu di Sungai Balingian sedang menunggu penuh sabar pancing mengena pada udang galah.

Keterujaannya bertambah apabila ada antara kedai makan di Balingian menyiarkan sajian udang galah bersaiz besar di kedai mereka untuk penggemar makanan laut.

Apa yang penting kata Ahmad, keterujaan bukan hanya disebabkan untuk menikmati udang yang kenyal serta rasanya yang sukar digambarkan, sebaliknya untuk melepas gian dan menguji teknik memancing udang galah.

Dalam pada itu tinjauan turut mendapati ramai penduduk kampung turun ke sungai memancing udang sama ada menggunakan joran mahupun pancing botol tanpa joran.

Seorang penduduk Aminah Bolhassan, 50, yang kelihatan amat sabar menunggu mata kailnya mengena pada sepit biru turut menyatakan rasa seronok melihat ramai yang berada di tebing Sungai Balingian untuk memancing.

“Pada hujung minggu tebing Sungai Balingian akan didatangi ramai kaki pancing untuk mencuba nasib terutamanya apabila mengetahui sungai banyak udang,” katanya.

Katanya, beliau sendiri berasa seronok memancing dan melihat ramai orang memancing tanpa mengira panas terik menggigit kulit, yang penting kepuasan untuk mendapatkan sepit biru.

“Setakat ini saya belum lagi berjaya menangkap sepit biru cuma udang yang bersaiz sederhana serta yang kecil-kecil sahaja termasuk ikan.

“Sasaran saya hendak menangkap udang tetapi ikan pula yang tersangkut, tetapi itu juga rezeki boleh diambil untuk dijadikan lauk. Cuma sekiranya jenis ikan yang ditangkap tidak dapat dimakan saya akan lepaskan semula ke dalam sungai,” kata Aminah.

Menurut Aminah, pancing akan disentap sepit biru terutama pada waktu pagi dan petang di kawasan lubuk tertentu dan kalau tidak hanya akan balik dengan tangan kosong.

 Seorang pemancing berjaya menaikkan udang galah bersaiz sederhana di Sungai Balingian.
SEDERHANA: Seorang pemancing berjaya menaikkan udang galah bersaiz sederhana di Sungai Balingian.

Walau bagaimanapun, selalunya usaha tidak akan mengecewakan sebab sekurang-kurangnya dapat menangkap dua atau lima ekor udang bersaiz sederhana.

Dalam keadaan tertentu katanya, ada mata kail pemancing hampir setiap masa disentap dan mengena pada udang.

“Selalunya udang merangkak di dasar tanah dan kawasan tumpuannya adalah berdekatan tebing-tebing sungai dan bukan di tengah-tengah sungai, justeru ada teknik tertentu untuk memancing udang galah ini,” kata Aminah.

Seorang lagi pemancing Mahri Limat, 35, berkata, beliau amat seronok memancing udang di Sungai Balingian berikutan suasana kampung dan airnya yang tenang.

Katanya, beliau sanggup menyewa perahu semata-mata untuk memancing udang di Sungai Balingian dan harapannya mata kailnya akan mampu menyangkut udang galah sepit biru.

“Setakat ini saya belum mendapatkan apa yang diidamkan (sepit biru), mungkin belum ada rezeki atau mungkin pada awal musim ketika keadaan air yang betul di sungai ini pastinya banyak sepit biru akan muncul,” katanya.

Beberapa tahun lepas Balingian pernah menganjur pertandingan memancing udang dengan menawarkan pelbagai hadiah dan acara sedemikian wajar diteruskan memandangkan tarikan uniknya terhadap para pemancing dan penggemar udang galah.

Udang galah atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii merupakan sejenis udang air tawar yang mendiami pelbagai kawasan air tawar dan habitat air payau bermula dari alur anak sungai kecil sehingga ke sungai, tasik dan muara.

Udang ini boleh ditemui di kawasan tropika dan subtropika di rantau Indo-Pasifik, dari India ke Asia Tenggara dan Australia Utara serta merupakan haiwan omnivor dan mempunyai kecenderungan untuk aktif pada waktu malam.

  • oleh
  • Advertisement