Anda di sini

Sarawak Energy serius tingkatkan usaha mengesan kecurian kuasa

Advertisement
 Pemeriksaan di kediaman peribadi di Jalan Acorus, Miri.
MAHIR: Pemeriksaan di kediaman peribadi di Jalan Acorus, Miri.
 Pasukan petugas khas memeriksa meter elektrik di pusat urut.
OPERASI: Pasukan petugas khas memeriksa meter elektrik di pusat urut.

SARAWAK Energy telah meningkatkan usaha mengesan kecurian kuasa dengan latihan yang lebih intensif dan berterusan untuk juruteknik meternya agar dapat mengenal pasti kaedah kecurian kuasa terkini, termasuk pengenalpastian bahagian meter palsu.

Menerusi usaha ini, Syarikat SESCO Berhad telah menemui tiga kes baharu meter telah diubah suai dalam pemeriksaan meter baharu operasi ion.

Setiap satu daripada tiga kes melibatkan penutup meter di tiga lokasi berbeza di Kuching dan Miri.

Bertindak atas makluman awam dan selepas berminggu-minggu pengawasan, dua kediaman peribadi dan pusat urut diserbu oleh pasukan petugas khas yang terdiri daripada kakitangan SESCO, pegawai dari Unit Pemeriksaan Eletrik (EIU) Kementerian Utiliti dibantu polis.

Pasukan teknikal terlatih SESCO yang pakar dalam pemeriksaan meter dapat mengenal pasti penutup meter palsu dan komponen dalam yang menyebabkan meter mencatat penggunaan elektrik yang lebih rendah.

Penutup meter yang ditemui semasa serbuan itu adalah sama dengan yang ditemui dalam operasi yang diadakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Miri pada Ogos tahun lepas.

Beratus-ratus penutup meter palsu ditemui di sebuah rumah yang dikendalikan oleh anggota sindiket kecurian kuasa yang membawa kepada beberapa tangkapan.

Sarawak Energy juga menjalankan siasatan dalaman mengenai kes yang membawa kepada penamatan tugas pembaca meter yang digunakan oleh kontraktor SESCO yang dipercayai bekerja dengan penyedia perkhidmatan meter yang menyalahi undang-undang.

Sarawak Energy akan terus menjalankan operasi pemeriksaan meter di seluruh Sarawak dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa seperti SPRM, EIU dan polis.

Semua kes kecurian kuasa dirujuk kepada Jabatan Peguam Besar Negeri   untuk pendakwaan jenayah.

Sarawak Energy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang pembekal perkhidmatan yang mendakwa dapat menyesuaikan bil elektrik dengan penggunaan elektrik tanpa had.

Kecurian elektrik adalah satu jenayah yang sangat berbahaya kerana membahayakan nyawa dan boleh menyebabkan kerosakan kepada peralatan elektrik pelanggan yang akan menyebabkan kebakaran.

Kesalahan mencuri kuasa boleh dihukum undang-undang dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Orang ramai boleh terus melaporkan kepada Sarawak Energy tentang sebarang maklumat kecurian kuasa melalui hotline 082-443535. Semua maklumat akan disimpan secara rahsia.

Advertisement