Anda di sini

Kenaikan pangkat bukti kecemerlangan Fadil dalam kepolisan

Advertisement
ZAINI menyaksikan serah terima tugas KPD Tawau antara Fadil kepada Nor Azizulkifli.
ZAINI menyaksikan serah terima tugas KPD Tawau antara Fadil kepada Nor Azizulkifli.

TAWAU: Kontinjen Sabah berbangga dengan pencapaian bekas Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau ACP Fadil Marsus yang dinaikkan pangkat ke jawatan kanan di Bukit Aman.

Fadil akan melaporkan diri pada 11 April sebagai Ketua Penolong Pengarah (D&C) Anti Pemerdagangan Orang/ Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman dan memangku pangkat SAC.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Zaini Jass berkata Fadil, 44, sudah membuktikan kecemerlangannya dalam kepolisan di Sabah khususnya di Tawau.

“Perkembangan ini suatu peralihan positif KPD Tawau kerana beliau salah seorang KPD terbaik di Sabah dan kita bangga dengan kenaikan pangkatnya,” katanya.

Zaini berkata demikian sempena Majlis Serah Terima Tugas KPD Tawau daripada Fadil kepada Supt Nor Azizulkifli Mansor selaku Pemangku KPD Tawau di sini pada Isnin.

Beliau turut menyaksikan perjalanan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daripada Nurashidah Ishak kepada Syarmila Abd Latiff.

Mengulas lanjut, Zaini percaya pengalaman Fadil di Sabah khususnya di Tawau akan memberikan kelebihan kerana kes Atipsom antara kes yang menjadi tumpuan di daerah ini.

“Dia menggalas jawatan berkaitan Atipsom dan dia sudah tahu ‘asam garam’ jenayah Atipsom di Sabah khususnya di Tawau yang lebih memudahkan penugasannya.

 “Sudah tentu dengan pelantikannya juga, kita berharap masalah Atipsom di Sabah akan dapat ditangani dengan lebih baik dan secara peribadi saya yakin beliau mampu.

 “Kita yakin berdasarkan prestasi perkhidmatannya yang cemerlang semasa mentadbir IPD Tawau yang termasuk di antara daerah paling luas di Sabah,” katanya.

Menurutnya, legasi baik kepimpinan yang ditinggalkan Fadil menjadi satu cabaran kepada penggantinya tetapi beliau optimis dengan kemampuan Supt Nor Azizulkifli.

“Setiap cabaran itu harus dilihat sebagai peluang dan Pemangku KPD Tawau kena buktikan untuk meneruskan prestasi baik kerana IPD Tawau antara terbaik di Sabah.

“Banyak kekangan dan cabaran di Tawau, lebih-lebih lagi daerah ini tergolong antara daerah yang termasuk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya.

Supt Nor Azizulkifli menyifatkan tugasnya sebagai suatu bentuk penghormatan dan berterima kasih dengan keyakinan yang diberikan kepimpinan Kontinjen Sabah.

“Saya harap mendapat kerjasama baik semua pegawai khususnya ketua-ketua jabatan, selain media dan masyarakat untuk meneruskan kecemerlangan IPD Tawau,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement