Anda di sini

Kraf tangan artis Murum dan Baleh warnai Hari Kraf Negara 2019

Advertisement
 Karim  (tujuh kiri) dan Sikie (empat kanan) mengunjungi tapak pameran kraf Sarawak Energy sebagai tanda sokongan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
SOKONGAN: Karim (tujuh kiri) dan Sikie (empat kanan) mengunjungi tapak pameran kraf Sarawak Energy sebagai tanda sokongan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

KRAF TANGAN hasil tangan artis dari Murum dan Baleh di bawah Program Pembangunan Kraftangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sarawak Energy mendapat sambutan menggalakkan pada Hari Kraf Negara 2019 di Kuala Lumpur.

Para artis menjual produk kraf tangan bernilai sekitar RM19,000 pada acara 12 hari tersebut di Kompleks Kraf Kuala Lumpur berkonsepkan ‘Culturising Craft in Lifestyle’ yang dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-marhum Sultan Iskandar.

Penyertaan para artis pada festival tersebut direalisasikan dengan kerjasama Sarawak Energy dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Murum diwakili Sheila Bayak, Meron Kulleh dan Permai Asan dari Long Malim di Tegulang, Murum manakala Baleh diwakili Josephine Midong Jubin dari Rumah Nabau, Dapong Serumpai dan Lily Siba dari  Rumah Laso dan Luban Jinggau dari Rumah Tajai di Ng Antawau, Baleh.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai mengunjungi tapak pameran Sarawak Energy sebagai sokongan kepada para artis.

Turut menyertai Karim dan Sikie, Pengurus Besar CSR Sarawak Energy Jiwari Abdullah dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak, Azran Arip.

Rekaan tekstil dan kraf mereka dipertontonkan bersama produk para artis tempatan dan antarabangsa dan ia menyediakan platform kerjasama kepada semua yang terlibat.

Selain itu peserta turut mendapat pendedahan yang dapat memperkukuhkan lagi kemahiran membuat kraf dan membangunkan teknik pemasaran mereka.

Mengulas mengenai penyertaan artis Murum dan Baleh pada festival ini, Jiwari berkata pihaknya sentiasa mencari cara untuk mempromosikan hasil kerja para artis di bawah program syarikat.

“Kami percaya bahawa memberikan mereka pendedahan yang tepat akan membangun bukan sahaja kemahiran kraf mereka tetapi juga memperkukuhkan konsep dan strategi pemasaran mereka,” katanya.

Tambah Jiwari, Sarawak Energy juga berbesar hati memainkan sebahagian peranan mereka dalam membolehkan para artis ini merealisasikan potensi mereka dan mempromosikan kraf tangan Sarawak kepada dunia.

Advertisement