Anda di sini

‘Konsert Evolusi 73’ sempena ulang tahun RTM dapat sambutan hebat

Advertisement
DAYANG NURFAIZAH DAN HAEL HUSAINI
DAYANG NURFAIZAH DAN HAEL HUSAINI

MESKIPUN hujan lebat, penonton yang hadir ke Panggung Anniversari Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur tidak berganjak daripada tempat masing-masing dalam memberi sokongan kepada artis kesayangan mereka beraksi menjayakan ‘Konsert Evolusi 73’ yang berlangsung baru-baru ini.

Diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-73 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April, konsert diterbitkan oleh Unit Hiburan TV RTM berkonsepkan evolusi, dan setiap lagu popular malar segar yang digubah semula dengan elemen-elemen baru bersempena RTM ke arah transformasi digital sepenuhnya, ia turut disiarkan secara langsung di TV2.

Menampilkan gandingan pengacara Nana Mahazan dan Ivan Toh, gabungan muzik segar yang diberi nafas baharu, genre yang berbeza dan artis serta pemuzik dari pelbagai generasi ini   dimeriahkan dengan persembahan hebat barisan artis popular tanah air seperti Datuk David Arumugam, Datuk M.Nasir, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.

Sejumlah 45 orang pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan muzik Luqman Aziz mengiringi persembahan artis dalam konsert yang berlangsung sekitar satu jam setengah ini.

Persembahan pembukaan oleh Paladin feat Orkestra RTM dengan lagu paling ikonik yang pernah dipopularkan kumpulan Nirvana bertajuk ‘Smell Like Teen Spirit’ .

Kemunculan Dato’ David Arumugam menyanyikan dua lagu ‘Senyumlah Kuala Lumpur’, dan ‘Sampaikan Salam’, nyata berjaya memadam kerinduan peminat terhadap pengasas utama kumpulan Alleycats ini.

Kehadiran figura seni tanah air, Dato’ M.Nasir pula nyata memukau penonton menyampaikan dua lagu iaitu ‘Raikan Cinta’ dan diikuti ‘Juwita’ yang menyaksikan orang ramai turut menyanyikan lagu tersebut bersama-sama.

Gandingan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah juga dipertemukan dalam konsert ini menyampaikan lagu hits, ‘Haram’.

Dayang Nurfaizah turut menyanyikan lagu ‘Lelaki Teragung’ dan Hael Husaini dengan lagu ‘Hajat’. Meskipun tidak berapa sihat namun Hael tetap memberikan persembahan yang terbaik kepada semua.

Kerancakan konsert diteruskan dengan kemunculan Haqiem Rusli dengan lagu rancak ‘Jatuh Bangun’ diikuti Ben Ladin menghiburkan penonton dengan lagu percubaan pertamanya dalam industri muzik bertajuk ‘Hikayat Ben Ladin’.

Persembahan mantap Sarah Suhairi ‘mash up’ lagu ‘Jiwa & Raga’, dan ‘Du Dhuu ddhuuu’ tidak menghampakan dengan gaya tarian santai menghiburkan.

Pentas dihangatkan dengan gandingan Kumpulan Hujan yang mengundang sama Heidi menyampaikan lagu ‘Malam Bulan di Pagar Bintang’.

Penguasaan Noh Salleh berinteraksi dengan penonton tidak pernah menghampakan.

Dia turut berkongsi cerita misi kemanusiaan di Syria yang disertainya dan merupakan pengalaman berharga pernah ditimba. Ia diterjemahkan dalam lagu bertajuk ‘Suria’ dan diakhiri lagu ‘Jutaan Jiwa’.

Kemuncaknya persembahan bertenaga Akim & The Majistret menggamatkan konsert dengan pilihan lagu ‘Obses’, ‘Ladida’ dan ‘Rampas’ yang menyaksikan penonton bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.

Konsert dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo juga Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii.

Advertisement