Anda di sini

AKPK terima 7,790 responden portal Rumahku

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menerima sebanyak 7,790 responden yang mendaftar setakat 26 Mac, 2019 di portal pendidikan kewangan Rumahku yang diperkenalkan pada Januari lepas.

Ketua Cawangan AKPK Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata daripada jumlah tersebut, seramai 6,664 responden berjaya menamatkan sembilan modul ditetapkan dalam portal itu manakala 991 responden memilih untuk tidak meneruskan niat membuat pinjaman perumahan.

“Portal Rumahku ini adalah inisiatif terbaharu kami untuk meningkatkan aspek literasi (celik) kewangan. Cara terbaik untuk mendidik orang ramai adalah secara dalam talian.

“Ini penting khususnya bagi pembeli rumah pertama kerana pembelian kediaman itu sendiri merupakan satu keputusan yang penting,” katanya kerpada pemberita di acara Karnival Kewangan Terengganu 2019 di sini, semalam.

Karnival anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) itu berlangsung selama tiga hari bermula 4 April lepas.

Portal Pendidikan Kewangan Rumahku merupakan portal pembelajaran dalam talian yang memberi panduan, maklumat dan pengetahuan kepada bakal peminjam sebelum membuat pinjaman perumahan, terutama Dana Rumah Mampu Milik BNM.  

Modul yang terdapat di dalam portal Rumahku itu merangkumi kalkulator pengiraan bulanan pinjaman perumahan yang dirancang, kalkulator bajet untuk mengetahui kedudukan kewangan individu, faktor kewangan dan bukan kewangan yang perlu dipertimbangkan, jenis insurans terlibat serta khidmat nasihat ringkas AKPK.

Mengulas selanjutnya, Junainah berkata pembeli rumah berpotensi yang ingin mendapatkan pinjaman perumahan di bawah skim pinjaman perumahan khas mampu milik BNM itu wajib mengikuti pembelajaran dalam talian ini sebelum membuat pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan terpilih.

Beliau berkata, bakal peminjam perlu mendapatkan sijil lengkap pembelajaran modul pendidikan  kewangan di http://learn.akpk.org.my tersebut.

“Sijil ini perlu dilampirkan sebagai salah satu dokumen penting dalam permohonan rumah pertama melalui Dana Rumah Mampu Milik oleh BNM,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, usaha menyempurnakan modul tersebut bukanlah satu jaminan bagi kelulusan permohonan pembiayaan itu. — Bernama

Advertisement