Anda di sini

Srikandi PVATM WP KL ke Sabah eratkan silaturahim

Advertisement
ROMBONGAN PVATM WP Kuala Lumpur bergambar bersama Srikandi PVATM Sabah.
ROMBONGAN PVATM WP Kuala Lumpur bergambar bersama Srikandi PVATM Sabah.

LAWATAN Srikandi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Sabah baru-baru ini pasti meninggalkan banyak kenangan manis.

Bagi mereka yang datang buat kali pertama, pengalaman berkunjung ke negeri ini, sudah tentu tidak dapat dilupakan. Meskipun hanya beberapa tempat yang sempat di lawati seperti Kundasang dan Ranau, serta Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, namun lawatan singkat itu amat bermakna.

Namun bagi mereka yang pernah ke Sabah, sama ada mengiringi suami atau bertugas di Sabah, lawatan itu mengembalikan nostalgia kunjungan mereka beberapa tahun yang lalu.

“Kini Sabah makin maju, tidak seperti dahulu,” begitu komentar seorang veteran tentera yang pernah bertugas di Sabah.

Beliau masih mengingati dengan jelas keadaan jalanraya yang agak teruk pada tahun -tahun 80an.

"Untuk ke Pantai Timur Sabah, kita terpaksa melalui jalan yang berdebu dan terpaksa menyeberani Sungai Segama dan Sungai Kinabatangan dengan menaiki feri sebelum sampai ke Lahad Datu atau Tawau,” kenangnya.

Lawatan Srikandi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu diketuai Kapten (B) Asiah Arifin yang juga Ketua Srikandi Negara.

Turut serta dalam rombongan seramai 40 orang itu ialah Bendahari Srikandi Negara Hajah Zubaidah Harun.

Turut serta dalam rombongan ialah Naib Yang Dipertua PVATM Wilayah Persekutuan, Haji Baharudin Haji Omar.

Tujuan lawatan selama empat hari tiga malam itu adalah mengeratkan silaturahim dan kasih sayang di kalangan ahli Srikandi dan anggota veteran, kata Kapten (B) Asiah Arifin.

Itu sebabnya salah satu agenda lawatan adalah mengadakan majlis ramah mesra dengan Srikandi PVATM Sabah.

Beliau juga berkata, peranan Srikandi PVATM kini telah diperluaskan  bagi memberi ruang kepada ahli-ahli Srikandi untuk menyumbang khidmat dan bakti mereka.

Katanya, aktiviti itu adalah salah satu aktviti srikandi PVATM Cheras.

Srikandi PVATM Sabah yang dipimpin Puan Pauline Dane, menyambut kedatangan rombongan dengan gembira. Beliau berharap jalinan silaturahim antara Srikandi WP KL dan Sabah akan terus berpanjangan.

Pauline berkata semoga lawatan ke Sabah itu bermanfaat kepada ahli.

Katanya, beliau bersama ahli-ahli Srikandi Sabah mengalu-alukan kehadiran Srikandi PVATM WP Kuala Lumpur.

“Ini kali pertama kami menerima tamu seramai ini," katanya jujur.

Pauline baru saja memegang jawatan sebagai Pengerusi Srikandi PVATM Sabah.

“Jangan `jera’ datang ke Sabah,” katanya. 'Jera’ dalam bahasa Melayu di Sabah boleh membawa  makna serik atau bosan. Beliau juga meminta maaf jika ada layanan yang kurang memuaskan.

“Moga silaturahim kita berkekalan,” katanya.

Pemimpin PVATM Sabah yang turut hadir dalam majlis itu ialah Yang Dipertua PVATM Sabah Marshid Haji Mohd Salleh, Bendahari Haji Rakim, Ketua Cawangan PVATM Penampang, Ali Hussin, Ketua PVATM Papar dan ramai lagi.

Selepas jamuan petang, majlis juga diserikan dengan persembahan tarian yang turut disertai ahli-ahli Srikandi Sabah dan WP Kuala Lumpur sebelum diakhiri dengan sesi bergambar.

 

.

  • oleh
  • Advertisement