Anda di sini

Finas tawar geran filem sempena FITA Wave Short Film Awards

Advertisement
AHMAD IDHAM
AHMAD IDHAM

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menawarkan geran filem kepada satu daripada lima penyertaan terbaik dalam FiTA Wave Short Film Awards 2019 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 14 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata geran filem itu bertujuan memberi peluang kepada hasil karya peserta ditayangkan di layar perak, selain mencari pengarah muda yang berbakat.

“Pertandingan FiTA WAVE Short Film ini adalah untuk melihat potensi golongan muda yang mengarah filem pendek mereka sendiri dan kita akan menyenarai pendek lima penyertaan terbaik untuk dipilih sebagai juara.

“Untuk geran filem pula, kita memilih mereka berdasarkan mesej dan objektif yang disampaikan. Mungkin yang bakal menerima geran ini bukan terdiri daripada kalangan pemenang,” katanya dalam sidang media berkenaan majlis anugerah itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, kelmarin.

Turut hadir pengarah penyertaan FiTA Wave, Dr. Norman Yusri.

Anugerah Filem Pendek FiTA Wave 2019 yang merupakan kerjasama antara UiTM, Finas, Jabatan Pendidikan Tinggi, Yayasan Hasanah dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), menyasarkan penglibatan 200 penyertaan.

Sementara itu, Norman menjelaskan tema filem pendek itu menekankan kepada isu-isu pendidikan, seni warisan budaya, pembangunan sosial dan alam sekitar.

“Ia terbuka kepada tiga kategori iaitu pelajar sekolah menengah, kolej dan universiti awam serta swasta. Sebanyak 46 penyertaan diterima setakat ini dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 2 Mei.

“Pembikinan filem pendek ini dapat dijadikan sebagai budaya seni gambar bergerak dan boleh digunakan sebagai tujuan pembelajaran untuk menyampaikan mesej serta hasrat kepada orang ramai,” katanya. — Bernama

Advertisement