Anda di sini

Asnaf syukuri keprihatinan Baitulmal

Advertisement
 Rombongan TBS menziarah dan menyampaikan bantuan kepada Salimah di Kampung Kemunting.
PRIHATIN: Rombongan TBS menziarah dan menyampaikan bantuan kepada Salimah di Kampung Kemunting.
 Zaleha semasa ditemui media dan rombongan TBS.
BERSENDIRIAN: Zaleha semasa ditemui media dan rombongan TBS.
 Ahmad Seliman (tengah) menyatakan rasa syukur kerana dikunjungi rombongan TBS terdiri daripada (dari kiri) Abang Mohammad Shibli, Kipli dan Zaini.
TIDAK TERPINGGIR: Ahmad Seliman (tengah) menyatakan rasa syukur kerana dikunjungi rombongan TBS terdiri daripada (dari kiri) Abang Mohammad Shibli, Kipli dan Zaini.
 Pondok yang didiami Zaleha di kawaan bukit perkampungan Kemunting Bintulu.
DAIF: Pondok yang didiami Zaleha di kawaan bukit perkampungan Kemunting Bintulu.

GOLONGAN asnaf dan daif yang menjalani kehidupan sukar di bahagian ini amat bersyukur dengan bantuan zakat dan barang keperluan harian yang diberikan institusi zakat negeri Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Seorang penerima bantuan Ramlah Razali, 60, menyatakan rasa penghargaan besar kepada Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie, Ketua TBS Cawangan Bintulu Zaini Ramli yang bersusah payah datang untuk menziarah dan menyampaikan zakat kepadanya di Kampung Jepak di Bintulu.

“Terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang diberikan dan keadaan kami di sini yang sangat susah menyebabkan saya mengharapkan bantuan ini, kalau tidak tentunya saya tidak memintanya,” ujar Ramlah dengan nada sebak.

Normah Sutih, 44, turut menyatakan nada penghargaan yang sama kepada TBS kerana sanggup turun padang menziarahi asnaf serta pada masa sama menyampaikan bantuan terhadap keluarganya.

“Terima kasih banyak dengan bantuan yang diberikan yang akan dapat meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya semasa ditemui media yang menyertai rombongan TBS Bersama Mufti Sarawak sempena Ziarah Asnaf di Kampung Jepak, baru-baru ini.

Dalam pada itu Zaleha Sanis, 70, yang ditemui di Kampung Kemunting juga menerima kunjungan yang sama serta mendapat bantuan agihan zakat dan barang keperluan harian daripada TBS.

Beliau yang mendiami sebuah pondok usang sejak puluhan tahun lepas selepas kematian suaminya berkata, beliau tinggal seorang diri di pondok itu selepas berpindah dari penempatan di Kampung Baru di bahagian Bintulu.

“Saya hidup sendiri, mencari makan sendiri di pondok ini dan saya mempunyai dua anak lelaki yang kerap juga menjenguk keadaan hidup saya di sini,” jelasnya.

Begitupun katanya, anak-anaknya masing-masing bekerja dan beliau tidak mahu tinggal bersama dengan anak-anak kerana lebih suka bersendirian.

“Dahulu saya ada bekerja untuk menyara hidup dan makan minum tetapi sekarang sukar untuk saya bekerja lagi dan saya amat bersyukur kerana telah mendapat bantuan daripada Baitulmal Sarawak,” katanya.

Jelasnya, anak-anaknya ada juga memberi duit belanja untuknya tetapi tidak mencukupi sebab anak-anaknya memerlukan wang tersebut untuk menyara hidup keluarga dan anak-anak mereka.

Katanya, anak-anaknya perlu menampung pelbagai perbelanjaan harian untuk keluarga mereka termasuk persekolahan anak mereka yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan lain.

Justeru katanya, dengan bantuan Baitulmal yang diberikan kini saya bersyukur kerana dapat menggunanya untuk membeli barangan dapur dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Zaleha menyatakan mengenai kesusahan yang dihadapinya di pondok yang didiaminya sejak puluhan tahun itu berikutan ketiadaan bekalan elektrik serta air paip bersih terawat.

“Tanpa elektrik dan hanya mendapatkan bekalan air paip yang dihantar serta turut membeli air mineral dalam botol,” katanya yang kini mengakui kudratnya tidak lagi kuat untuk bekerja.

Tetapi beliau menyatakan turut mendapatkan bekalan air dari telaga berdekatan dan beliau juga menerima sumbangan tangki untuk menadah air untuk kegunaannya seharian.

Bagi memenuhi keperluan hidupnya katanya, beliau bercucuk tanam ala kadar di persekitaran kawasan pondoknya yang terletak di atas tanah bukit yang merupakan tanah wakaf perkuburan Islam yang ditumpangnya di kawasan Kemunting tersebut.

“Dulunya ada tanah di Kampung Baru tetapi telah dijual, atas sebab itu saya mencari mana-mana tempat untuk tinggal dan mendirikan pondok,” katanya sambil menambah beliau kadang-kadang tinggal dengan anak-anaknya tetapi bukan dalam tempoh lama sebaliknya akan kembali semula ke pondoknya itu.

Katanya, sekiranya saya demam, ada juga anak-anak datang melawat dan menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ahmad Seliman, 66, yang juga menerima bantuan Baitulmal Sarawak di Kampung Sebiew turut menyatakan rasa syukur dengan bantuan zakat dan barangan keperluan harian yang diberikan oleh Baitulmal Sarawak.

“Saya tinggal bersama kakak dari kecil dan syukur dengan bantuan yang diberikan.

“Keluarga saya bukan senang tetapi saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik.

Katanya, untuk menampung keperluan sehariannya beliau ada juga menerima sedekah daripada beberapa pihak termasuk jiran-jiran serta kawan-kawannya.

“Saya menerima bantuan Baitulmal sejak 14 tahun lepas dari segi bantuan makanan dan kini turut menerima bantuan kewangan, alhamdulillah saya bersyukur bantuan yang diberikan itu akan dapat membantu meringan beban,” katanya sambil menambah turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

  • oleh
  • Advertisement