Anda di sini

Ujian mamogram percuma untuk warganegara Malaysia, penduduk tetap

Advertisement
SUZANNA (duduk tengah) bersama para peserta Program Kesedaran Kanser dan Program Subsidi Ujian Mamogram di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan.
SUZANNA (duduk tengah) bersama para peserta Program Kesedaran Kanser dan Program Subsidi Ujian Mamogram di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan.

KOTA KINABALU: Semua wanita Warganegara Malaysia atau bertaraf Penduduk Tetap berumur 40-70 tahun layak menerima subsidi ujian mamogram secara percuma dan mestilah pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.

Pemangku Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah Suzanna Piny berkata, manakala wanita yang berpendapatan melebihi RM10,000 dan ke atas akan diberi subsidi RM50 dan mestilah mempunyai kriteria risiko tinggi kanser payudara atau wanita yang dirujuk untuk ujian diagnostik mamogram.

"Kriteria lain ialah wanita yang berusia 35 hingga 39 tahun dan mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara usia kurang 40 tahun dan telah mendapat saranan doktor untuk menjalankan ujian mamogram," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmian Program Kesedaran Kanser dan Program Subsidi Ujian Mamogram, di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Sembulan, dekat sini hari ini.

Suzanna berkata, mamogram merupakan kaedah saringan kanser payudara yang telah terbukti berkesan.

Katanya, ujian mamogram mampu mengesan apa yang tidak kelihatan. Ini kerana 9 daripada 10 kes kanser payudara dapat dikesan melalui ujian mamogram.

"Pemeriksaan ini dibuat kepada wanita yang tiada masalah tetapi berisiko. Pemeriksaan bagi wanita yang mempunyai tanda atau masalah payudara juga akan dilakukan," katanya.

Katanya, kadar radiasi x-ray adalah rendah dan tidak meningkatkan risiko kanser payudara di kalangan wanita.

Beliau berkata, di Malaysia, kadar harga ujian mamogram di pusat mamogram swasta adalah di antara RM100 hingga RM300.

Katanya, bagi wanita yang memenuhi kriteria kriteria menerima Subsidi Ujian Mamogram ini boleh terus menghubungi mahupun pergi terus ke Klinik Nur Sejahtera Kota Kinabalu dan Klinik Nur Sejahtera Sandakan untuk membuat pendaftaran.

"Sekali gus mendapatkan tarikh temujanji bagi menjalankan ujian mamogram di pusat mamogram terpilih. Pada hari ini juga, Klinik Nur Sejahtera (KNS) Kota Kinabalu telah membuka kaunter pendaftaran bagi Subsidi Ujian Mamogram," katanya.

Suzanna berkata, LPPKN telah mengambil inisiatif menjayakan Program Kesedaran Kanser Program Subsidi Ujian Mamogram khususnya kepada kaum wanita.

Katanya, program kesejahteraan wanita ini termasuk Program Subsidi Mamogram yang akan  memberi manfaat kepada 47,000 orang wanita berkelayakan di seluruh Malaysia. Bagi negeri Sabah, sejumlah 3,000 wanita disasarkan untuk menjalani ujian ini.

Katanya, pelaksanaan Program Kesedaran Kanser Program Subsidi Ujian Mamogram ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran wanita mengenai pentingnya penjagaan kesihatan payudara dan seterusnya meningkatkan penyertaan wanita menjalani ujian saringan mamogram.

Sehubungan itu, beliau berharap agar program yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada wanita di negeri Sabah ini.  

"Silalah hebahkan perkara ini kepada rakan-rakan wanita di luar sana yang tidak berkesempatan hadir untuk rebut peluang untuk mendapatkan Subsidi Ujian Mamogram ini.  

Segera rebut peluang untuk menjadi sebahagian daripada jumlah 3,000 wanita seperti mana kouta yang ditetapkan bagi negeri Sabah," katanya.

Suzanna merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada penganjur program LPPKN Negeri Sabah kerana berjaya menganjurkan program yang memberikan manfaat untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penjagaan kesihatan terutama sekali saringan kanser di kalangan kaum wanita.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO)  yang sudi hadir dan  bekerjasama dalam menjayakan program ini terutamanya PPS dalam menganjurkan program ini.

"Sesungguhnya saya merasa amat gembira dan  menyokong sepenuhnya kolaborasi dengan pelbagai NGO khususnya persatuan wanita dalam meningkatkan kesedaran akan bahayanya kanser," katanya.
  
   

  • oleh
  • Advertisement