Anda di sini

Sarawak terima agihan cukai pelancongan: Abdul Karim

Advertisement
 Abdul Karim (dua kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak, semalam. — Gambar Chimon Upon
BINCANG: Abdul Karim (dua kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Agihan 50 peratus cukai pelancongan bagi tahun 2017 hingga Disember 2018 berjumlah RM2.58 juta telah diberikan kepada Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan telah menunaikan janji untuk mengagihkan cukai pelancongan negeri-negeri termasuk Sarawak pada suku pertama tahun ini.

“Kita baharu sahaja menerima (agihan 50 peratus) cukai pelancongan bagi tahun 2017 hingga penghujung 2018. Walaupun jumlahnya tidak begitu besar, saya sangat gembira kerana kerajaan persekutuan telah menunaikan janjinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatantkuasa Pemandu Pelancongan Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Abdul Karim juga berkata esok beliau bersama ketua-ketua agensi pelancongan negeri akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia Datuk Mohamaddin Ketapi di ibu negara.

Menurutnya beberapa perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, antaranya pembangunan prasarana dan acara-acara pelancongan.

“Kita melihat selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat, ada penurunan dari segi peruntukan pembangunan  prasarana pelancongan, tidak kurang dibatalkan.

“Mungkin mereka (kerajaan persekutuan) masih mengatur keadaan, untuk menstabil serta mengkaji acara-acara dan frasarana pelancongan yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Tambahnya berdasarkan maklum balas daripada Mohamaddin, Sarawak mungkin mendapat peruntukan sewajarnya untuk membangunkan lagi prasarana pelancongan di negeri ini.

Sebagai contoh ujarnya, meskipun Sarawak kini berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan udara, kerjasama dengan kerajaan pusat masih diperlukan.

Ini kerana katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Malaysia Airports Holding Berhad di bawah kerajaan pusat.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin dan Setiausaha Tetap Kementeriaan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee.

  • oleh
  • Advertisement