Anda di sini

Rombongan JCorp lawat bandar raya Kuching

Advertisement
 Abdul Hadi bertukar cenderamata dengan Naib Presiden JCorp Mohd Sahir Rahmat untuk pembangunan perniagaan selepas majlis taklimat yang berlangsung di Menara SEDC.
TERIMA KASIH: Abdul Hadi bertukar cenderamata dengan Naib Presiden JCorp Mohd Sahir Rahmat untuk pembangunan perniagaan selepas majlis taklimat yang berlangsung di Menara SEDC.

PERBADANAN Pembangunan Ekonomi Johor atau lebih dikenali dengan nama JCorp baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Sarawak atas undangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES).

Rombongan pelawat diketuai oleh presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JCorp iaitu Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan mereka diraikan oleh Pengerusi PPES Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain serta Pengurus Besar Abdul Hadi Datuk Kadir.

Selain membuat lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya Kuching, rombongan pelawat turut mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan perniagaan baharu antara PPES dengan JCorp yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Menurut Kamaruzzaman, lawatan rombongan JCorp ke negeri ini adalah susulan kunjungan rombongan PPES ke Johor Bahru pada 14 Disember tahun lalu dan tujuan inisiatif itu ialah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak.

Selain daripada itu, pihak JCorp menaruh harapan agar hubungan baik dengan SEDC Sarawak akan membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan berpotensi untuk membuka ruang-ruang kerjasama.

Semasa lawatan mereka di Kuching, rombongan JCorp telah melawat beberapa kilang dan tempat perniagaan usahawan tempatan yang mengambil bahagian dalam program pembangunan perniagaan PPES.

Mereka juga menghadiri taklimat mengenai latar belakang, projek-projek dan perniagaan PPES yang berlangsung di Menara PPES  yang terletak di Kuching Isthmus.

Pihak pelawat juga diraikan pada majlis makan malam di Poolside, Hotel Grand Magherita dan kakitangan JCorp telah mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti menarik dikendalikan oleh penari-penari dari Kampung Budaya Sarawak.

Advertisement