Anda di sini

Petronas lancar inisiatif Klinik Tender dan Integriti Advokasi

Advertisement
 Samsudin (tiga kanan) dan Rohaizad (empat kiri) melancarkan program Klinik Tender dan Integriti Advokasi di seluruh negara oleh Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
RASMI: Samsudin (tiga kanan) dan Rohaizad (empat kiri) melancarkan program Klinik Tender dan Integriti Advokasi di seluruh negara oleh Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

PETRONAS melancarkan inisiatif Klinik Tender dan Integriti Advokasi untuk meningkatkan kebolehan membida dan kesedaran vendor tempatan dalam pematuhan dasar-dasar integriti dan tadbir urus syarikat.

Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini disiarkan secara langsung kepada kira-kira 300 peserta di Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Kertih dan Pengerang.

Sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha Petronas untuk memberikan tumpuan kepada peningkatan penyertaan dalam tender kompetitif daripada syarikat-syarikat di negeri masing-masing.

Petronas menganugerahkan kontrak melalui tender berdasarkan meritokrasi dan keutamaan diberikan kepada vendor tempatan yang mampu di skop kerja mereka.

Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas Samsudin Miskon dan Ketua Pegawai Integriti Petronas Datuk Rohaizad Yaakob merasmikan program tersebut.

Banyak sesi dijangka akan diadakan pada setiap suku tahun untuk mendekati semua vendor Petronas.

Samsudin dalam ucapannya berkata, memandangkan industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) disatukan untuk memenuhi realiti baharu dalam sektor tenaga, masa depan adalah milik mereka yang mempunyai keupayaan dan ketahanan untuk mengharungi tempoh yang mencabar dalam industri.

‘’Vendor tempatan perlu tangkas dan mampu kekal relevan dan berkekalan. Ia berada dalam kepentingan Petronas untuk menerima banyak penyerahan tender berkualiti tinggi baik dari segi teknikal mahupun komersil, bagi mempromosikan persaingan sihat dalam kalangan vendor ini,’’ tambahnya.

Sementara itu, Rohaizad berkata, ia adalah sama penting untuk membuat perkara-perkara baik dan melakukannya dengan betul dan penuh berintegriti.

“Petronas sentiasa mengutamakan tadbir urus dan integriti dalam segala hal yang dilakukan dengan toleransi sifar terhadap rasuah. Dengan Malaysia meletakkan lebih banyak kepentingan terhadap antirasuah dan liabiliti korporat, adalah penting untuk vendor mematuhi semua integriti dan tadbir urus berkenaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa kesan ketidakpatuhan adalah serius kepada vendor, syarikat mereka, Petronas dan negara.

Para vendor yang mengambil bahagian menyatakan penghargaan untuk sesi yang bermanfaat dan memuji usaha Petronas kerana menjalankan klinik pada setiap suku tahun.

“Ini adalah satu sesi yang bagus di mana Petronas menggariskan langkah penyerahan tender. Ia dapat memberi penjelasan kepada beberapa vendor yang mempunyai persepsi salah bahawa tawaran mereka mungkin tidak disemak dengan baik,” kata Bundan Ngila dari BWS Engineering Sdn Bhd pada sesi di Bintulu.

Pada sesi yang sama, Atien Nadot dari Kenyalang Harta Sdn Bhd berkata sebagai pemain baharu dalam industri, sesi itu amat membantu kerana ia mendedahkannya kepada aspek yang beliau sebelum ini terlepas pandang.

Sementara itu, Fatin Amirah Iskandar dari TAS Institute of Oil and Gas di Kota Kinabalu berkata, beliau akan menasihati rakan-rakannya untuk menjadikan Petronas sebagai model peranan ketika mengendalikan perniagaan.

“Saya bukannya baharu dalam proses tender tetapi saya telah mendapat tip baharu daripada sesi ini dan menghargai Petronas mengendalikan proses perolehannya dengan penekanan yang kuat terhadap integriti,” katanya.

Muhammad Ashraf Zulkifli dari JNJ Oil & Gas Sdn Bhd di Kuala Lumpur, berkata maklumat terperinci yang dikongsi semasa sesi itu memberi manfaat kepadanya dengan pengetahuan teknikal serta pemahaman yang jelas tentang dasar integriti dan tadbir urus Petronas.

“Saya akan memberi perhatian lebih lanjut mulai sekarang mengenai teknikal proses tender, yang sebelum ini saya abaikan,” katanya.

Islindah Ishak daripada Excel Provision Sdn Bhd di Pengerang, berkata beliau kini lebih yakin mengemukakan cadangan yang amat baik.

“Saya juga menghargai penjelasan Petronas mengenai penekanannya terhadap ketelusan, yang telah membuang keraguan kepada beberapa vendor berkaitan dengan proses yang terlibat.

“Saya akan berkongsi ini dengan rakan-rakan saya, serta mengenai pentingnya memahami aliran proses untuk membolehkan penyerahan dokumen tender berkualiti tinggi,” tambahnya.

Kesepakatan dalam kalangan peserta adalah untuk Petronas terus menganjurkan program seperti ini kerana ia akan memberi lebih banyak kesedaran dan kejelasan mengenai proses tender dan dasar Petronas mengenai tadbir urus dan integriti.

Advertisement