Anda di sini

Kucing liar gigit seorang mangsa disah positif rabies

Advertisement
Gambar hiasan

KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengesahkan seekor kucing liar positif rabies di Kampung Tambirat, Samarahan, dekat sini.

Pengarahnya, Dr Adrian Susin Ambud berkata kes itu dikesan selepas kucing berkenaan dilanggar oleh kereta, dan mengigit pemandu yang ingin menyelamatkannya.

“Kucing tersebut dihantar ke Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak dimana ujian ke atas tisu otak kucing tersebut disahkan positif rabies melalui ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT).

“Manakala pemandu tersebut telah mendapat rawatan dan suntikan penuh anti-rabies di hospital berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adrian berkata setakat awal bulan ini, sebanyak 96 sampel otak anjing diuji, dimana 32 sampel didapati positif rabies.

Manakala bagi sampel otak kucing pula katanya, sembilan didapati positif rabies daripada 13 sampel diuji.

Setakat ini belum ada kes positif melibatkan haiwan hidupan liar dikesan berdasarkan lapan sampel otak diambil sejak 2017 mendapati kesemuanya negatif rabies.

“Jabatan akan terus mempergiatkan aktiviti pemvaksinan haiwan. Setakat ini, sebanyak 110,000 ekor anjing dan sebanyak 8,545 ekor kucing telah divaksinkan,” katanya sambil menambah 10,000 haiwan menerima suntikan vaksin di klinik veterinar swasta.

Beliau turut menasihatkan pemilik pemilik haiwan untuk memvaksinkan haiwan peliharaan mereka selain menyarankan pemandulan dan pengurungan haiwan peliharaan bagi mengekang penularan wabak rabies.

Penyakit rabies boleh merebak melalui gigitan dan cakaran haiwan yang dijangkiti virus tersebut.

Oleh yang demikian, orang awam hendaklah lebih berwaspada dan sekiranya terkena gigitan, luka perlu dicuci dengan air sabun selama 15 minit dan segera pergi ke klinik yang berdekatan untuk rawatan lanjut.

Advertisement