Anda di sini

Bot terbakar: Sekumpulan pelancongan hadapi detik cemas

Advertisement
KEADAAN bot yang terbakar berdasarkan paparan skrin dua video pendek berdurasi 1 minit dan satu saat, serta hampir 2 minit yang tular di WhatsApp.
KEADAAN bot yang terbakar berdasarkan paparan skrin dua video pendek berdurasi 1 minit dan satu saat, serta hampir 2 minit yang tular di WhatsApp.

SEMPORNA: Sekumpulan pelancong termasuk seorang bayi menghadapi detik cemas apabila bot fiber berkapasiti 12 penumpang yang mereka naiki terbakar di perairan Pulau Menampilik.

Kejadian terbabit tular menerusi dua video yang memaparkan detik cemas semasa insiden berlaku dan selepas kesemua penumpang di bot terbabit dapat diselamatkan.

Difahamkan, terdapat kes kecederaan melibatkan kumpulan pelancong dalam insiden itu, yang dikatakan berlaku kira-kira jam 1 petang Sabtu lepas.

Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong yang dihubungi berkata pihaknya baharu menerima makluman mengenai insiden itu pada Selasa, jam 6.23 petang.

Berikutan tidak ada laporan awam diterima, beliau tidak menolak kemungkinan jika bot penumpang itu dikendalikan operator yang menjalankan aktiviti secara haram.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut dan mengatakan bahawa pihaknya masih menunggu maklumat susulan berhubung kesahihan insiden itu.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna Jamilah Ang Kher Lern pula berkata pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang mereka ada kepada Bianus.

“Kita mendapat tahu mengenai insiden itu pada hari kejadian, iaitu kira-kira jam 3 petang apabila melihat sebuah bot tanpa pengendali dan penumpang, terbiar di laut.

“Api di bot penumpang itu juga sudah padam ketika bot kami lalu di kawasan itu,” katanya yang turut mengendalikan sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul.

Jamilah berkata pihaknya difahamkan kesemua pelancong yang menaiki bot penumpang itu bergegas balik ke Semenanjung dan tidak membuat laporan polis.

Namun, jumlah tepat pelancong yang menaiki bot itu tidak ada diperolehi setakat ini, termasuk bilangan pelancong yang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.

Ditanya identiti pemilik bot penumpang dan pengendali bot yang menyelamatkan kumpulan pelancong terbabit, beliau berkata masih belum menerima maklumat jelas.

“Dipercayai pihak yang menyelamatkan mereka adalah bot pelancong yang kebetulan melalui kawasan itu, kerana lokasi kejadian laluan terletak di antara Mabul dan pekan.

“Sebenarnya, saya juga terkejut selepas melihat dua video pendek yang memaparkan kejadian berlaku, menerusi grup WhatsApp kira-kira jam 4 petang tadi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas mengesahkan setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan awam berhubung kejadian yang berlaku.

Balai Bomba dan Penyelamat Semporna serta Pasukan Polis Marin turut mengesahkan bahawa setakat ini tidak ada laporan diterima mengenai kejadian itu.

Menyentuh hal berkaitan, Jamilah berharap pelancong yang datang ke Semporna supaya memilih menggunakan khidmat operator pelancongan berlesen.

“Kita juga harap operator-operator yang masih belum mempunyai lesen supaya dapat memohon lesen untuk menaikkan standard operasi operator pelancongan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement